Petronella dilantik pengendali skuad B-17 Malayan Tigress

6 Apr 2023 • 1:55 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Anak watan Sabah, Petronella Douny dilantik sebagai ketua jurulatih skuad Bawah 17 Malayan Tigress oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada Rabu.

Kakitangan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu berusia 36 tahun itu merupakan satu-satunya jurulatih wanita di Malaysia yang memegang Lesen Kejurulatihan AFC/FAM A.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh badan kebangsaan itu, pelantikan tersebut dibuat sejajar dengan visi FAM untuk memperkasakan lagi bola sepak wanita dengan membina skuad bola sepak wanita kebangsaan yang dianggotai semua wanita.

Pengarah Teknikal FAM, Scott O’Donell memuji Petronella atas komitmen berterusan beliau dalam pembangunan bola sepak wanita di Sabah, dan juga keupayaan dan kredibilitinya sebagai jurulatih skuad Bawah 18 Malayan Tigress pada kempen Kejohanan AFF Wanita Bawah 18 Tahun di Palembang, Indonesia tahun lepas.

“Saya berharap pelantikan Petronella akan membuka lembaran baharu bola sepak wanita di negara ini, dan memberi inspirasi serta motivasi kepada wanita di luar sana untuk bekerja dalam bidang kejurulatihan,” katanya.

Ketua jurulatih skuad senior Malayan Tigress, Soleen Al-Zoubi berkata pelantikan itu merupakan permulaan yang baik bukan sahaja untuk skuad kebangsaan tetapi juga untuk pertandingan domestik bola sepak wanita Malaysia.

“Saya dan Petronella sentiasa berkomunikasi dan membincangkan sesi latihan dan program pembangunan bersama.

“Pengalaman beliau sebagai bekas pemain kebangsaan dari 2002 hingga 2009 sudah tentu boleh membantu dalam membentuk pemain muda dalam skuadnya,” tambahnya.

Sementara itu, Persatuan Bolasepak Sabah (Safa) mengalu-alukan pelantikan Petronela dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada hari sama.

Setiausaha Agungnya, Dato’ Jelani Hamdan berkata, ia adalah satu penghormatan kepada komuniti bola sepak dan rakyat di Sabah.

“Pelantikan itu membuktikan usaha Safa dalam pembangunan bola sepak negeri ini bukan sahaja untuk melahirkan pemain berkualiti tetapi juga untuk melahirkan jurulatih berkebolehan, berada di landasan yang tepat.

“Ia adalah strategi jangka panjang kami untuk menghantar Petronella untuk kursus kejurulatihan Lesen A AFC/FAM, dan baru-baru ini Jelius Ating dalam kursus kejurulatihan Lesen Pro A supaya Sabah mempunyai jurulatih tempatan yang berkelayakan untuk menguruskan pasukan Liga Super pada masa hadapan.

“Selain itu, kami juga merancang untuk mengadakan lebih banyak kursus untuk pengadil bagi meningkatkan tahap profesionalisme mereka,” katanya.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.