Petros bantah tindakan Petronas tangguh prosiding mahkamah dalam pertikaian gas Sarawak

24/04/2025 - 09:32
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 24 April - Kerajaan Sarawak dan syarikat tenaga negeri, Petroleum Sarawak Bhd (Petros) mengemukakan bantahan tegas terhadap permohonan Petronas untuk menangguhkan prosiding di Mahkamah Tinggi Kuching dan menggesa mahkamah menolak perkara berkenaan kerana ia dilihat tidak berasas dari segi undang-undang sebaliknya bermotifkan strategi.
Dalam hujahan berasingan, Kerajaan Sarawak dan Petros berpendapat, permohonan penangguhan adalah cubaan terang-terangan oleh Petronas untuk mengelak semakan kehakiman di Sarawak.
Petros, yang diwakili oleh peguam Sim Hui Chuang dan Lim Lip Sze dari firma Reddi & Co, berhujah, permohonan Petronas tidak mempunyai merit dan merupakan satu penyalahgunaan proses mahkamah.
Pertikaian di Mahkamah Kuching ini berkisar pada jaminan bank yang berkait dengan Perjanjian Penjualan Gas (GSA), manakala kes yang difailkan oleh Petronas di Kuala Lumpur melibatkan kontrak dan pihak yang berbeza.
“Ini adalah kes yang jelas,” menurut hujahan Petros. “Petronas cuba menggagalkan kes yang sudah bersedia untuk perbicaraan dengan dakwaan tidak jelas tentang isu-isu bertindih dalam satu saman yang tidak berkaitan," katanya.
Petros menegaskan, kes di Kuching sudah sampai ke peringkat akhir, dengan semua afidavit dan hujahan telah difailkan. Tarikh perbicaraan telah ditetapkan pada 16 April 2025. Sementara itu, prosiding di Kuala Lumpur masih di peringkat pra-perbicaraan tanpa tarikh pendengaran yang disahkan.
Kerajaan Sarawak, yang diwakili oleh Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato Seri JC Fong, menyokong sepenuhnya pendirian Petros dan menyifatkan permohonan penangguhan itu sebagai satu “penyalahgunaan proses yang terang-terangan”.
Kerajaan Negeri memberi amaran, jika penangguhan dibenarkan, ia akan menjejaskan penyelesaian isu-isu perlembagaan yang penting kepada hak Sarawak di bawah Ordinan Pengagihan Gas 2016 dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Penangguhan kes ini akan menjejaskan kepentingan awam. Adalah penting supaya persoalan perlembagaan yang dibangkitkan diselesaikan tanpa kelewatan yang tidak wajar," katanya.
Kerajaan juga memaklumkan, Kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan, telah diberikan status amicus curiae dalam prosiding di Kuching, membolehkan mereka membantu mahkamah tanpa menjadi pihak penuh. Penglibatan ini memastikan hujahan perlembagaan dapat dibentangkan sepenuhnya tanpa bergantung kepada saman di Kuala Lumpur.
Petronas, yang diwakili peguam Alex Ngu, berhujah kes di Kuching perlu ditangguhkan sehingga penyelesaian penuh dan muktamad bagi kes berkaitan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Syarikat itu mendakwa, isu perlembagaan dan undang-undang berkaitan dengan Ordinan Pengagihan Gas 2016 (DGO) Sarawak, serta kepentingan kerajaan yang bertindih, memerlukan satu keputusan yang menyeluruh untuk mengelakkan percanggahan dalam penghakiman.
Menurut Petronas, prosiding di KL melibatkan kedua-dua Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak sebagai pihak penuh, sedangkan dalam kes di Kuching mereka hanya bertindak sebagai amicus curiae.
Petronas juga berhujah, perbezaan status ini boleh menjejaskan kekuatan hujahan perlembagaan dan bahawa saman di KL, yang turut melibatkan Shell MDS sebagai pihak, merangkumi isu kontrak yang lebih luas dan mungkin memberi kesan terhadap pertikaian semasa.- DagangNews.com
featured standard

