Cahya Mata Sarawak terima kontrak RM550 juta bina Pusat Konvensyen Borneo di Kuching

21/04/2025 - 17:39
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 21 April - Cahya Mata Sarawak Berhad menerusi CMS Land Sdn Bhd menerima kontrak RM550 juta daripada Kerajaan Sarawak bagi pembinaan Pusat Konvensyen Borneo di Kuching II, daerah Muara Tebas, Kuching.
Kumpulan itu berkata, kontrak itu merangkumi reka bentuk dan pembinaan keseluruhan termasuk asas bangunan, substruktur, superstruktur, kerja bangunan, perkhidmatan mekanikal dan elektrikal, kerja pemasangan, ujian dan pentauliahan.
"Projek ini akan bermula pada April 2025 dan siap pada suku pertama 2028 manakala kontrak reka bentuk dan bina akan dimeterai pada suku kedua 2025," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.
Kumpulan itu berkata, projek itu tidak akan mempunyai sebarang kesan ke atas modal saham dan pegangan saham pemegang saham besar dalam syarikat.
Ia dijangka menyumbang secara positif terhadap pendapatan dan aset bersih Cahya Mata bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 hingga 31 Disember 2028.
Antara risiko yang boleh diramal untuk projek itu berkemungkinan berkaitan rantaian bekalan disebabka ketidaktentuan perdagangan global.
"Bagaimanapun, syarikat berada pada kedudukan yang baik untuk menangani isu-isu tersebut berikutan sinergi yang disediakan oleh anak-anak syarikat utamanya seperti Cahya Mata Cement, perniagaan konkritnya dan bahagian bahan binaan serta perdagangannya," katanya. - DagangNews.com
standard



