
Petrosains Anjur Sesi Bersama Urus Media, Menampilkan Sains Imersif & SkyXperience
Petrosains Sdn. Bhd. hari ini menganjurkan satu sesi libat urus media strategik bertajuk “A Memorable Experience with Petrosains”, yang menghimpunkan rakan media utama bagi memperkukuh kerjasama serta memperluas peranan ilmu, pendidikan dan penceritaan dalam membina naratif negara, selari dengan aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026.
Majlis ini menjadi satu detik bermakna buat Petrosains, bukan sekadar sebagai ruang penghargaan, malah sebagai usaha memperbaharui komitmen bersama rakan media yang memainkan peranan penting dalam mengangkat inisiatif berteraskan pendidikan menjadi kisah yang memberi impak kepada Masyarakat setempat di seluruh negara.

Dalam ucapan alu-aluannya, Pengarah Jabatan Hubungan Pihak Berkepentingan dan Komunikasi Petrosains, Puan Shamini Balan, menekankan bahawa impak sebenar hanya dapat dicapai melalui kerjasama dan matlamat yang dikongsi bersama.
“Kesediaan anda hadir hari ini mencerminkan lebih daripada sekadar hubungan kerjasama. Ia melambangkan keyakinan bersama bahawa pendidikan, ilmu dan penceritaan mampu mencetuskan perubahan yang lebih baik,” katanya.

Seiring peredaran masa, Petrosains dan PETRONAS Twin Towers SkyXperience telah berkembang daripada sekadar tarikan pelawat kepada sebuah ekosistem dinamik yang menggabungkan pendidikan STEM dan pelancongan berasaskan pembelajaran. Kedua-duanya terus menyokong aspirasi negara termasuk Tahun Melawat Malaysia 2026 dengan menawarkan pengalaman yang imersif, mudah diakses dan menarik.
Rakan media turut dibawa menyusuri pengalaman berpandu di Petrosains dan PETRONAS Twin Towers SkyXperience, sekali gus meneroka penawaran terkini serta memahami dengan lebih mendalam kisah di sebalik salah satu mercu tanda paling ikonik negara.

Di Petrosains, antara tarikan utama yang terbaru termasuk Veloclimb di zon SPEED, iaitu pengalaman memanjat interaktif yang menggabungkan pergerakan fizikal dengan elemen digital. Turut diketengahkan ialah Hello AI di zon Sparkz yang memperkenalkan asas kecerdasan buatan secara interaktif dan mudah difahami. Rakan media juga berpeluang meneroka Galeri Kelestarian yang menampilkan zon seperti Ecofarm, Ecofood, Ecohome, Ecotransport, Ecopledges dan Ecohorizon, yang membolehkan pengunjung mendalami gaya hidup lestari termasuk aktiviti pertanian bandar dan penuaian hasil segar.

Pengalaman turut disertai dengan sesi jamuan eksklusif di Sky Café by Maja yang terletak di Aras 83 Menara Berkembar PETRONAS, yang baru-baru ini diiktiraf oleh Malaysian Book of Records.
Lebih daripada sekadar destinasi, keseluruhan pengalaman ini memperlihatkan gabungan penerokaan interaktif, penceritaan yang menarik serta panorama bandar yang memukau, mencerminkan kemajuan Malaysia dalam inovasi, penerokaan dan kecemerlangan.
PETRONAS Twin Towers SkyXperience turut mengukuhkan kedudukan globalnya apabila disenaraikan dalam World Federation of Great Towers, sekali gus memperkukuh pengiktirafan Malaysia dalam kalangan mercu tanda seni bina terkemuka dunia.

Di luar ruang fizikalnya, Petrosains terus memperluas impak ke seluruh negara menerusi inisiatif seperti Petrosains Tech4All, Petrosains PlaySmart dan Petrosains Discovery Rover. Program-program ini menjangkaui Lembah Klang dengan menyantuni komuniti di Sabah, Sarawak, Johor dan Pahang, khususnya golongan kurang mendapat akses dan masyarakat Orang Asli, dengan membawa peluang pembelajaran STEM secara inklusif.
Petrosains PlaySmart berfungsi sebagai pusat satelit yang menyediakan ruang pembelajaran STEM berasaskan komuniti, membolehkan pelajar merasai pengalaman interaktif lebih dekat dengan tempat tinggal mereka. Melengkapkan usaha ini, Petrosains Discovery Rover sebagai unit bergerak jangkauan STEM menjelajah ke kawasan luar bandar dan pedalaman, menyampaikan pengalaman sains secara langsung kepada sekolah dan komuniti.

Berlandaskan kepercayaan bahawa setiap kanak-kanak berhak mendapat akses kepada pendidikan berkualiti, inisiatif ini bertujuan merapatkan jurang pendidikan serta menyemai inspirasi dalam kalangan generasi masa depan tanpa mengira latar belakang atau lokasi.
Mengiktiraf peranan penting media dalam memperluaskan capaian usaha ini, sesi ini turut menjadi platform untuk merakamkan penghargaan kepada rakan media yang telah menyokong Petrosains selama hamper 3 dekad.
“Setinggi-tinggi penghargaan kami ucapkan kepada rakan media atas sokongan berterusan anda. Komitmen anda telah membantu mengangkat program menjadi kisah, dan kisah ini menjadi inspirasi yang memberi kesan jauh melangkaui khalayak masyarakat,” tambah Shamini.

Menjelang pelbagai inisiatif akan datang sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, Petrosains komited untuk terus bekerjasama rapat dengan rakan media dalam meningkatkan keterlihatan, memperkukuh penglibatan serta menyampaikan kisah berteraskan sains kepada khalayak yang lebih luas.
Sesi ini diakhiri dengan jemputan terbuka untuk meneruskan kerjasama, sekali gus memperkukuh peranan Petrosains sebagai pemangkin yang menghubungkan masyarakat, idea dan peluang melalui pengalaman yang mencetuskan rasa ingin tahu serta mengilhamkan perubahan.





