
AMPANG - Dua pekerja restoran dan seorang petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pengsan selepas terhidu gas beracun dalam insiden kebocoran bahan berkenaan di restoran makanan segera dekat Jalan Pandan 2/1 di Pandan Jaya, di sini hari ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, dalam kejadian sekitar jam 9.30 pagi itu, dua wanita yang juga pekerja restoran terbabit pengsan selepas berlaku kebocoran gas.
Menurutnya, kakitangan KKM yang cuba membantu mangsa turut tidak sedarkan diri selepas terhidu gas tersebut.
“Laporan awal mengatakan berlaku kebocoran gas dalam restoran berkenaan dan terdapat tiga individu dilaporkan pengsan, termasuk seorang kakitangan KKM yang masuk ke dalam restoran untuk membantu dua pekerja terlibat.
“Pihak bomba sedang mengawal keadaan dengan tidak membenarkan mana-mana orang memasuki restoran itu bagi tujuan keselamatan,” katanya hari ini.
Menurut Norazam, bomba menerima laporan kejadian pada jam 9.55 pagi tadi dan tiga pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BB) Pandan serta Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) dari BBP Shah Alam serta Tun Razak dikejarkan ke lokasi.
“Tiga mangsa yang pengsan itu kemudian dibawa ke Hospital Ampang dengan menaiki ambulans KKM untuk mendapatkan rawatan.
“Anggota HAZMAT kini sedang melakukan pemeriksaan dan membuat siasatan lanjut berhubung insiden terbabit di lokasi,” katanya. - Getaran, 10 Oktober 2022
