PUTRAJAYA - Seorang petugas Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) yang dilaporkan hilang akibat dihanyutkan arus deras ketika bertugas di sempadan Malaysia-Brunei pada 17 Mac lepas ditemukan maut pada Rabu.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, mayat Donysius Gabriel Goh, 36, ditemukan kira-kira 500 meter dari lokasi terakhir mangsa dilaporkan hilang.
Arthur berkata, mendiang yang bertugas sebagai Pembantu Khidmat Am H1 di Pejabat Topografi Wilayah Miri, Sarawak telah menunjukkan pengorbanan besar demi negara ketika melaksanakan tugasan rasmi penandaan dan pengukuran sempadan darat antarabangsa antara Malaysia serta Brunei.
"Segala jasa dan khidmat bakti mendiang akan sentiasa dikenang oleh negara selain berharap keluarga mendiang diberikan kekuatan serta ketabahan dalam menghadapi ujian," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan Brunei atas kerjasama erat serta komitmen sepanjang operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan.
"Penghargaan khusus ditujukan kepada pasukan SAR Brunei, Tentera Darat Diraja Brunei dan Tentera Gurkha atas bantuan keanggotaan tambahan yang diberikan,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, seorang anggota Pasukan Ukur Malaysia dilaporkan hilang selepas dipercayai dihanyutkan arus deras ketika menyeberangi sungai di kawasan Ulu Temburong, Lawas ketika melakukan operasi pengukuran sempadan antarabangsa Malaysia-Brunei bersama lima lagi rakannya.
Arthur berkata, sokongan turut diberikan oleh Tentera Udara Diraja Brunei yang menyediakan pesawat helikopter bagi operasi mengeluarkan mangsa dari kawasan sukar diakses selain bantuan Pasukan Polis Diraja Brunei dan Hospital RIPAS Bandar Seri Begawan dalam proses forensik serta bedah siasat.
Justeru, beliau menyatakan komitmen Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) yang akan memastikan bantuan sewajarnya disalurkan kepada keluarga mangsa.
"Bagi pihak kementerian dan seluruh warga JUPEM, saya menzahirkan ucapan takziah yang paling mendalam kepada isteri dan dua anak mendiang yang berusia 10 dan 12 tahun," katanya.
Beliau berkata, kerjasama antara kedua-dua negara kini tertumpu kepada proses pengecaman dan dokumentasi sebelum jenazah dibawa pulang ke Malaysia selepas semua prosedur di Brunei selesai sepenuhnya.- Bernama

