Siasatan kes Ketua Pengarah, pegawai kanan JUPEM peringkat akhir

LocalPolitics
4 Mar 2026 • 3:33 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Azam Baki.

PUTRAJAYA - Siasatan kes penyelewengan dana membabitkan Ketua Pengarah dan pegawai kanan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) kini berada di peringkat akhir.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, berkata, beliau telah mengarahkan pegawai penyiasatnya menyelesaikan kertas siasatan itu dalam tempoh dua minggu.

"Kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk tindakan selanjutnya.

"Kita sudah menjalankan siasatan rapi dalam kes ini malah saya juga sudah mengarahkan pegawai saya menyiapkan kes JUPEM dalam tempoh dua minggu. Tidak wajar siasatan ini ditangguhkan," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM di sini pada Rabu.

Pada 11 Februari lalu, Azam mengesahkan, dua pegawai kanan jabatan kerajaan termasuk seorang Ketua Pengarah disyaki bersubahat menyeleweng dana kira-kira RM900,000 untuk kepentingan peribadi.

SPRM memaklumkan dua lelaki berusia lingkungan 50-an itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.

Kata Azam, kedua-dua suspek juga dipercayai menyalahgunakan kuasa dan kedudukan masing-masing dengan menggunakan peruntukan kewangan di tempat mereka bekerja berjumlah kira-kira RM900,000 untuk kepentingan peribadi.

Malah, kedua-dua suspek juga dipercayai mengemukakan tuntutan palsu serta dokumen mengandungi butiran material palsu bernilai kira-kira RM60,000, yang didakwa digunakan bagi menunaikan ibadah umrah ketika menghadiri urusan rasmi di Jeddah dari 29 Januari hingga 4 Februari tahun lalu.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved