Pezeshkian tidak akan berundur walaupun berdepan tekanan

WorldPolitics
5 Aug 2026 • 1:27 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Pezeshkian tidak akan berundur walaupun berdepan tekanan

TEHERAN: Presiden Iran, Masoud Pezeshkian menafikan dakwaan beliau mengancam untuk meletakkan jawatan ketika berdepan tentangan sengit daripada pihak yang menolak sebarang pelarasan damai dengan Amerika Syarikat (AS) berhubung isu Selat Hormuz.

AS dan Eropah menaruh harapan agar satu kesepakatan dapat dicapai dalam masa terdekat bagi membuka semula laluan maritim strategik tersebut.

Kedua-dua pihak kini mengenakan tekanan ke atas Oman untuk menerima perjanjian sementara, walaupun pihak berkuasa Muscat bimbang ketetapan itu akan membiarkan Iran mengekalkan dominasi kekal ke atas laluan perkapalan minyak yang amat penting itu.

Menerusi draf cadangan berkenaan, kapal-kapal dagang akan memasuki Selat Hormuz menggunakan laluan berhampiran Iran, sebelum keluar melalui kawasan perairan yang merentasi sempadan perairan Iran dan Oman.

Berbanding dijulang atas kejayaan diplomasi yang kian hampir itu, Pezeshkian sebaliknya terpaksa mempertahankan kedudukan dengan menafikan dakwaan beliau pernah menawarkan peletakan jawatan sama ada secara lisan mahupun bertulis ketika ditemu bual dalam satu siaran televisyen sempena genap dua tahun pentadbiran beliau.

“Jika saya mahu meletakkan jawatan, saya akan mengutarakannya secara rasmi. Saya tidak akan berundur, saya akan terus bertahan,” tegas Pezeshkian yang menuduh pihak tertentu sengaja mahu mencetuskan perpecahan dalaman di Iran.

Dakwaan mengenai peletakan jawatan yang menjadi paparan utama dada akhbar tempatan di Iran itu sebelum ini dicetuskan oleh Mohammad Bagher Kharazi, individu yang mempunyai hubungan kekeluargaan menerusi perkahwinan dengan Mojtaba Khamenei, Pemimpin Tertinggi baharu Iran.

Menurut Kharazi, Pezeshkian berasa kecewa selepas sering diketepikan daripada proses membuat keputusan penting. Keadaan itu diburukkan oleh keengganan Pemimpin Tertinggi mendedahkan lokasi keberadaannya atas faktor keselamatan daripada ancaman agensi perisikan asing.

Mojtaba dilaporkan cedera parah dalam serangan bom rejim Israel pada hari pertama pencerobohan yang meragut nyawa bapanya dan beliau tidak pernah kelihatan atau berucap secara terbuka sejak insiden itu.

Kharazi turut mendakwa Pezeshkian kerap mengancam untuk berundur sehingga menyebabkan Khamenei memberi amaran akan menerima sahaja draf peletakan jawatan seterusnya, kenyataan yang akhirnya disifatkan pejabat Pemimpin Tertinggi pada Selasa sebagai palsu dan tidak benar sama sekali.

Dalam wawancara sama, Pezeshkian menegaskan beliau berada dalam kesepakatan penuh dengan kepimpinan tertinggi tentera. Beliau turut menyelar pihak yang mendakwa 30,000 orang terkorban dalam protes Januari lalu sebagai gagal mengemukakan sebarang bukti seperti yang diminta.

Wawancara sempena genap separuh penggal pentadbiran beliau yang penuh bergelora itu dilihat sebagai usaha untuk mengikis persepsi bahawa pendekatan diplomasi dan konsensus yang diamalkannya adalah satu kelemahan atau beliau telah diketepikan oleh pemimpim-pemimpin perang berpendirian tegar.- AGENSI

The post Pezeshkian tidak akan berundur walaupun berdepan tekanan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved