PGA gagalkan cubaan seludup orkid, ros berpenyakit

LocalPolitics
9 Feb 2025 • 9:57 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Pemeriksaan ke atas trak pikap itu membawa kepada penemuan pelbagai jenis pokok bunga jenis orkid dan ros dipercayai diseludup dari Thailand.

RANTAU PANJANG - Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) Pengkalan Chepa berjaya menumpaskan kegiatan penyeludupan lebih 200 pokok bunga orkid dan ros bernilai RM35,000 yang disyaki berpenyakit selepas menahan sebuah trak pikap di sekatan jalan raya (SJR) Chabang Empat Salam di sini pada Khamis.

Pemeriksaan pada jam 2.45 petang itu dilakukan menerusi Op Taring Wawasan dengan menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan.

Komander Briged Tenggara, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, pemeriksaan ke atas trak pikap itu membawa kepada penemuan pelbagai jenis pokok bunga jenis orkid dan ros dipercayai diseludup dari Thailand.

"Kami mengesyaki tanaman ini mempunyai serangga perosak dan penyakit," katanya ketika dihubungi pemberita pada Ahad.

Menurut beliau, pemandu berusia 57 tahun yang ditahan itu dipercayai bertindak sebagai penghantar tanaman tersebut ke pasaran tempatan.

Ujarnya, kes disiasat mengikut Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta167) Seksyen 5.

Nik Ros Azhan memberitahu, suspek dan barangan rampasan dibawa ke Komtak PGA Taman Bakti untuk tindakan selanjutnya.

"PGA akan terus mempergiatkan usaha bagi mengekang kegiatan penyeludupan dari terus berleluasa di sempadan negara," katanya.