
LAHAD DATU: Batalion 17 Pasukan Gerakan Am (PGA) Lahad Datu menahan 21 individu dan merampas pelbagai barangan bernilai lebih RM3 juta menerusi 16 serbuan yang dijalankan sepanjang Julai.
PGA Lahad Datu, dalam kenyataan pada Khamis, memaklumkan mereka yang ditahan terdiri daripada lapan lelaki tempatan dan 13 warga asing atas pelbagai kesalahan.
Antara barangan yang dirampas dengan nilai keseluruhan RM3,007,947.35 ialah diesel dan petrol, produk kosmetik, syabu, produk sejuk beku, ayam sabung baka Filipina, rokok seludup serta kenderaan yang dipercayai digunakan untuk menjalankan kegiatan haram.
Antara kejayaan yang direkodkan ialah rampasan dadah oleh Kompeni A menerusi Op Taring Esszone di Tanjung Batu, Labian yang membawa kepada penahanan seorang warga asing bersama syabu seberat 14.55 gram.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan telah diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu untuk siasatan lanjut.
Dalam Op Taring Alpha 1 pula, Bahagian Risikan menahan sebuah Proton Gen 2 yang membawa rokok seludup di Taman Warisan 2 serta menangkap dua warga asing.
Kes berkenaan telah diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah untuk tindakan dan siasatan lanjut.






