Kastam rampas 45 motosikal seludup termasuk Yamaha RXZ bernilai RM3.6 juta

LocalCars
6 Aug 2026 • 3:14 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Kastam rampas 45 motosikal seludup termasuk Yamaha RXZ bernilai RM3.6 juta

SHAH ALAM, 6 OGOS: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas 45 motosikal seludup termasuk 25 Yamaha RXZ sepanjang Januari hingga Jun lalu dengan anggaran nilai keseluruhan RM3.6 juta termasuk duti dan cukai.

Pengarah JKDM Kelantan Mohd Hisham Mohd Nor berkata, semua motosikal terbabit dipercayai diseludup dari Thailand melalui pangkalan haram di Sungai Golok sebelum disimpan di beberapa lokasi termasuk bengkel, kawasan perumahan dan tempat letak motosikal untuk diedarkan kepada pembeli.

Beliau berkata, rampasan itu dibuat hasil operasi penguatkuasaan dan maklumat awam di beberapa lokasi sekitar Kelantan, Kuala Lumpur dan Johor Bahru.

"Sepanjang Januari hingga Jun lalu, sebanyak 45 motosikal pelbagai jenis termasuk Yamaha RXZ, berkuasa tinggi serta kapcai dirampas hasil operasi dan maklumat awam.

"Nilai rampasan dianggarkan RM1.34 juta manakala duti dan cukai berjumlah RM2.28 juta menjadikan jumlah rampasan keseluruhan RM3.6 juta," katanya pada sidang media di Kompleks Penguatkuasaan JKDM Rantau Panjang, hari ini, lapor Harian Metro.

Menurut Mohd Hisham, semua motosikal berkenaan disyaki dibawa masuk secara haram dari negara jiran menerusi Sungai Golok sebelum diedarkan kepada pelanggan di negara ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang 10 kali ganda nilai barangan atau RM50,000, mengikut amaun yang lebih besar, dan tidak melebihi dua kali ganda nilai barangan atau RM500,000, mengikut amaun yang lebih besar jika sabit kesalahan.

Katanya, pesalah juga boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

Mohd Hisham berkata, permintaan berterusan terhadap motosikal seludup terutama Yamaha RXZ didorong oleh pembeli yang mendapatkan alat ganti selain tertarik dengan tawaran harga yang lebih murah sebelum motosikal itu dibaik pulih dan dijual semula pada harga lebih tinggi.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved