PGA tahan 4,007 individu, rampasan cecah RM1.13 bilion

LocalBusiness & Finance
17 Jul 2026 • 6:36 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

PGA tahan 4,007 individu, rampasan cecah RM1.13 bilion

KUALA LUMPUR, 17 JULAI: Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan 4,007 individu dan merekodkan nilai rampasan berjumlah RM1.13 bilion menerusi 2,866 kes di seluruh negara, bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata antara operasi terbaharu dilaksanakan ialah Op Intra/Inter (Ops Block Chain/Cryptocurrency) di Petaling Jaya, Selangor pada 14 dan 15 Julai lepas.

Katanya operasi dengan kerjasama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) itu bagi membanteras aktiviti yang disyaki melibatkan ketirisan hasil negara serta transaksi kewangan haram berkaitan mata wang kripto.

Beliau berkata siasatan dijalankan di bawah Seksyen 112 dan 113 Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967) serta Seksyen 4 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

“Operasi ini merupakan manifestasi komitmen berterusan dalam memperkukuh penguatkuasaan rentas agensi bagi memastikan setiap bentuk jenayah kewangan dan pengelakan cukai dapat dibanteras secara menyeluruh serta berkesan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Yusri berkata pihaknya akan terus memperkukuh kerjasama strategik bersama agensi penguatkuasaan dan percukaian bagi mengekang jenayah kewangan yang memberi kesan kepada ekonomi negara serta memastikan hasil negara sentiasa dipelihara.

“Orang ramai juga diseru agar terus menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa bagi membantu usaha membanteras jenayah dan melindungi kepentingan negara,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved