PGRS yakin GRS mampu gerak solo pada PRN: Mazlan

LocalPolitics
16 Jun 2025 • 8:52 AM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: Iskandar Dzulkifli

BEAUFORT: Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) menolak dakwaan kononnya Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak yakin mampu memenangi pilihan raya (PRN17) secara solo hingga terpaksa bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).

Ketua PGRS Bahagian Lumadan, Mazlan Joehari Manan berkata, sebaliknya GRS yakin dengan kekuatan gabungan itu namun beberapa perkara perlu diambil kira khususnya hubungan dengan persekutuan.

Bagaimanapun katanya, GRS akan sentiasa dominan dalam pembahagian kerusi yang tidak kurang daripada 50 kerusi menjadi milik gabungan itu sekiranya kerjasama dengan PH berlaku.

window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});“Cumanya sekarang GRS yang akan menentukan (kerusi) mana akan ditandingi dan selebihnya nanti akan kita tawarkan kepada mana-mana yang mahu bergabung dengan kita.

“Kita percaya apa pun kerjasama yang bakal ditentukan nanti, pastinya GRS akan terus dominan,” katanya ketika ditemui di Persidangan PGRS Bahagian Lumadan dirasmikan Timbalan Presiden PGRS, Datuk Seri Masidi Manjun, di sini, Ahad.

Hadir sama Ahli Majlis Tertinggi (AMT) PGRS merangkap wakil rakyat Klias, Datuk Isnin Aliasnih; AMT GRS, Datuk Matbali Musah yang juga Ahli Parlimen Sipitang dan Naib Presiden PBS, Datuk Ruslan Muharam.

Mazlan berkata demikian sebagai respon terhadap spekulasi bahawa GRS terpaksa bekerjasama dengan PH kerana tahu gabungan itu tiada kekuatan bertanding solo dan kemungkinan ‘tersungkur’ pada PRN17.

Ia susulan kenyataan kepimpinan GRS sebelum ini yang tidak konsisten sama ada mahu bergerak solo atau pun bekerjasama dengan PH hingga ramai pihak beranggapan gabungan itu tidak yakin dengan kekuatan sendiri.

Ketika ditanya mengapa GRS tidak mencontohi Sarawak yang membentuk kerajaan tanpa penglibatan parti luar dan pada masa sama memberi sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan, Mazlan berkata, situasi Sarawak berbeza dengan Sabah.

Beliau yang juga Pegawai Khas Kepada Ketua Menteri menegaskan Sarawak sejak awal tidak pernah ada parti luar yang terlibat atau membantu dalam penubuhan kerajaan negerinya.

Berbeza dengan Sabah katanya, pentadbiran kerajaan negeri yang terbentuk terutamanya pada ketika ini adalah hasil gabungan GRS dengan parti dari Semenanjung iaitu PH.

“Kita di Sabah kena terima hakikat bahawa kerajaan yang terbentuk hari ini hasil gabungan di antara GRS dan beberapa wakil rakyat daripada parti di Semenanjung khususnya PH.

“Inilah realiti ini yang berlaku hingga memungkinkan kerjasama GRS bersama PH pada PRN17 nanti,” katanya namun mengingatkan bahawa belum ada sebarang keputusan mengenai kerjasama itu setakat ini.

Bagaimanapun katanya, GRS bersedia malah tidak gentar untuk bergerak solo pada PRN17 akan datang sekiranya tiada jalinan kerjasama berlaku dengan mana-mana pihak selepas ini.

“Sehingga saat ini, belum ada lagi rundingan secara rasmi (antara GRS dan PH) dan paling utama, GRS sentiasa bersedia bergerak solo kerana kita yakin dengan kekuatan gabungan ini,” tegasnya.