
KOTA BELUD: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata parti-parti tempatan mesti mendominasi politik Sabah dan diberi keutamaan apabila membentuk kerjasama menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 akan datang.
Beliau berkata Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dibentuk oleh parti-parti tempatan perlu dipertahankan dan diteruskan dalam pilihan raya akan datang.
“Kita mahu teruskan kerajaan ini, sebab itu pilihan raya kali ini sangat penting. Kita tidak boleh silap membuat pilihan. Parti-parti tempatan mesti mendominasi landskap politik Sabah dan mesti diberi keutamaan,” katanya semasa Kongres Tahunan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno) di sini, Ahad.
window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});Hajiji berkata, sebarang perbincangan mengenai kerjasama dengan parti lain tidak seharusnya mengorbankan kepimpinan tempatan.
“Kerjasama itu perkara lain, tetapi GRS sebagai gabungan tempatan mesti dipertahankan. Ini seiring dengan sentimen rakyat di peringkat akar umbi yang mahu parti tempatan memimpin kerajaan.
“Sebagai Pengerusi GRS, saya akan pastikan perkara ini,” katanya.
Hajiji berkata beliau tidak akan menyerahkan hak dan perjuangan GRS kepada pihak yang mempunyai niat tidak baik.
“Saya tidak akan mudah menyerahkan apa yang diperjuangkan GRS kepada mereka yang cuba melemahkan gabungan ini,” katanya.
Beliau menggesa pemimpin dan ahli semua parti komponen GRS, termasuk Usno, untuk turun padang dan berinteraksi dengan rakyat mengenai falsafah “Rumah Kita, Kita Jaga” dan “Sabah Didahulukan”.
Parti komponen lain termasuk Parti Gagasan Rakyat Sabah, Parti Bersatu Sabah, Parti Solidariti Tanah Airku Sabah, Parti Progresif Sabah, Parti Cinta Sabah, Liberal Demokratik Sabah dan Parti Harapan Rakyat Sabah.
“Inilah misi kita. Bila kita kata ‘Rumah Kita, Kita Jaga’, ia perlu difahami dengan jelas. Tak perlu dijelaskan satu per satu. Mudah saja, kita jaga hak kita sendiri,” katanya.
Sabtu lalu, Ketua PKR Sabah Datuk Mustapha Sakmud berkata rundingan rasmi dengan GRS akan dimulakan menjelang PRN selepas mendapat kelulusan daripada kepimpinan pusat PKR dan PH.
Bagaimanapun, Setiausaha Agung GRS Datuk Armizan Mohd Ali berkata, gabungan itu seharusnya “menghormati” saranan Ketua Umno Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin supaya GRS bertanding menentang BN dalam PRN sebelum membincangkan sebarang kemungkinan kerjasama.
Beliau berkata pertembungan sedemikian akan menghapuskan sebarang tuduhan bahawa kemenangan bergantung sepenuhnya kepada kekuatan parti-parti tertentu dalam sesebuah gabungan.
“Saya bersetuju dengan Bung bahawa GRS dan BN perlu bertembung dalam PRN akan datang. Bila kita serah kepada rakyat untuk memilih, sesiapa yang menang nanti tidak akan lagi berdepan tuduhan bahawa Parti A menang kerana kekuatan Parti B, dan tiada lagi dakwaan pengkhianatan,” kata Armizan.
