
MELAKA: Pakatan Harapan (PH) akan membatalkan pelantikan tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan di Melaka, sekiranya diberikan mandat membentuk kerajaan negeri, Sabtu ini.
Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari berkata, penjimatan perbelanjaan hasil pembatalan pelantikan itu akan disalurkan kepada dua inisiatif utama iaitu bantuan pemilikan rumah bagi golongan belia dan sokongan kepada usahawan muda.
Menurutnya, langkah berkenaan merupakan antara komitmen PH untuk memastikan perbelanjaan kerajaan negeri dapat dimanfaatkan bagi memenuhi keperluan rakyat, khususnya generasi muda.
“Jika kita diberi mandat, PH akan membatalkan pelantikan tujuh ADUN lantikan dan menyalurkan penjimatan perbelanjaan tersebut kepada bantuan pemilikan rumah untuk golongan belia serta bantuan kepada usahawan belia.
“Kita tahu bahawa di Melaka, terdapat tujuh ADUN lantikan yang telah diluluskan di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Penjimatan daripada pembatalan itu akan disalurkan kepada dua perkara. Pertama, untuk golongan belia memiliki rumah kediaman dan kedua, membantu usahawan-usahawan belia di negeri Melaka ini,” katanya dalam sidang akhbar harian di sini, hari ini.
Menurut Adly, tawaran berkenaan selaras dengan aspirasi Melaka Rumah Kita yang menggariskan tiga teras dan 12 keutamaan bagi menangani keperluan harian rakyat.
Katanya, antara perkara yang diberikan perhatian termasuk penyediaan rumah mampu milik, bantuan kebajikan yang mudah diakses, peningkatan pendapatan pekerja serta kemudahan mendapatkan modal dan bantuan bagi peniaga kecil.
“Urusan kerajaan perlu dipermudah dan kesesakan lalu lintas di jalan utama harus ditangani.
“Calon-calon kami bersedia membawa isu ini ke Sidang DUN, mendapatkan tindakan daripada agensi berkaitan dan memaklumkan perkembangannya kepada penduduk,” katanya. – UTUSAN
The post PH akan mansuh tujuh ADUN lantikan appeared first on Utusan Malaysia.





