
MELAKA: Pengalaman dalam bidang kesihatan dan perkhidmatan awam menjadi antara kekuatan yang mahu dimanfaatkan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor, Datin Seri Dr. Asmah Samat, sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.
Beliau berkata, pengalaman berurusan dengan masyarakat sebelum ini mengajar keperluan rakyat bukan hanya tertumpu kepada kemudahan fizikal, malah merangkumi aspek kesihatan, kebajikan dan kesejahteran kehidupan.
Menurutnya, mendengar dan memahami masalah individu perlu diberi perhatian kerana ada kalanya masyarakat memerlukan ruang untuk menyuarakan kebimbangan.
“Kadang-kadang pesakit datang bukan semata-mata mahu mendapatkan ubat atau rawatan. Ada yang hanya mahu meluahkan perasaan kerana berasakan doktor memahami mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tambah Dr. Asmah, kesedaran penjagaan kesihatan juga perlu diperkasa menerusi pendekatan pencegahan, bukan hanya memberi tumpuan kepada rawatan selepas seseorang jatuh sakit.
“Kesihatan perlu dijaga dari dalam rahim sehingga ke akhir hayat. Kita perlu mendidik masyarakat supaya mengamalkan pemakanan sihat dan mengelakkan penyakit seperti diabetes serta darah tinggi,” jelasnya.
Beliau berkata, penduduk Pantai Kundor berdepan pelbagai isu yang memerlukan perhatian termasuk kesan penambakan pantai terhadap mata pencarian nelayan tradisional.
Katanya, perubahan kawasan pesisir pantai menyebabkan hasil tangkapan seperti geragau dan ikan semakin berkurangan, sekali gus memaksa nelayan bergerak lebih jauh ke tengah laut untuk mendapatkan hasil.
“Apabila laut ditambak, geragau sudah tiada dan hidupan laut yang biasa terdapat di kawasan itu juga semakin berkurangan,” ujarnya. – UTUSAN
The post Pengalaman kesihatan nilai tambah Dr. Asmah appeared first on Utusan Malaysia.





