'PH juga ada pemimpin Melayu-Islam' - Fahmi Fadzil

LocalPolitics
20 Jul 2026 • 11:39 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'PH juga ada pemimpin Melayu-Islam' - Fahmi Fadzil
Fahmi Fadzil

JEMPOL - Tindakan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin atau KJ membangkitkan soal Melayu dan Islam lebih kepada usaha untuk dilihat relevan serta membina semula tapak politiknya selepas kembali kepada UMNO.

Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, KJ sudah agak lama meninggalkan parti berkenaan.

"Dia keluar (UMNO) agak lama dan mahu memulakan semula asas politiknya.

"Jadi, dia akan mengeluarkan apa sahaja kenyataan yang dirasakan perlu supaya keberadaannya dapat dilihat oleh orang ramai," katanya kepada pemberita selepas selesai Program Ziarah Kasih di Felda Palong 2 bersama calon PH, G Manivanan pada Isnin.

Terdahulu, Khairy yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO berkata, keputusan BN memilih untuk bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) pada PRN Negeri Sembilan merupakan isyarat kepada PH.

Katanya, sebahagian ahli parti merasakan kerajaan Persekutuan kurang peka terhadap sensitiviti orang Melayu, selain gagal menunaikan beberapa janji yang dibuat sebelum ini.

Dalam pada itu, Fahmi turut menolak dakwaan bahawa PH tidak mempunyai pemimpin Melayu-Islam yang memperjuangkan kepentingan kaum dan agama.

Justeru, beliau menasihati KJ agar berpada-pada, selain tidak keterlaluan dan taksub terhadap beberapa pandangan sehingga seolah-olah menidakkan kewujudan Melayu-Islam dalam PH.

"Anwar Ibrahim itu bukan Melayu-Islam? Mohamad Sabu bukan Melayu-Islam? Dzulkefly Ahmad bukan Melayu-Islam? Amirudin Shari, Aminuddin Harun bukan Melayu-Islam?

"Saya rasa hentikanlah bermain dengan kepalsuan ini. Ingat, sebagai seorang Muslim, setiap perkara yang kita katakan sekiranya dusta maka ada balasan di akhirat," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved