PH kekal dengan prinsip 'anak India, anak Melayu semua anak kita' - Amirudin

LocalPolitics
17 May 2026 • 3:08 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: PH kekal dengan prinsip 'anak India, anak Melayu semua anak kita' - Amirudin
Menteri Besar Selangor merangkap Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berucap pada Konvensyen PH 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada pada Ahad. Foto Bernama

JOHOR BAHRU - Pakatan Harapan (PH) berdepan cabaran baharu daripada pihak yang tidak senang dengan pendekatan politik berbilang kaum dan budaya yang menjadi asas perjuangan gabungan itu.

Pengerusi PH Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, cabaran politik masa kini bukan lagi sekadar menyelesaikan isu ‘bread and butter’ sebaliknya bagaimana kerajaan mampu menangani soal rasa selamat dalam kalangan rakyat pelbagai kaum.

“Lawan politik kita serta beberapa pihak kurang senang dengan pendekatan multi-culturism dan juga multi-racial politik yang menjadi asas kepada PH.

“Mereka bimbang kerana mereka tahu dengan pendekatan ini tidak ada lagi pelindungan kepada mereka yang jual nama agama bangsa tetapi sakau dan untungkan kantung dan peribadi kehidupan mereka,” katanya berucap di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada sempena Konvensyen Pakatan Harapan (PH) pada Ahad.

Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor, menegaskan PH akan terus mempertahankan hak semua rakyat tanpa mengira kaum.

“Kita akan kekal dengan prinsip bahawa anak India, anak Melayu dan semua rakyat Malaysia adalah anak kita yang mesti dipertahankan dari segi perlembagaan, hak dan suara mereka,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan ahli parti supaya tidak terpengaruh dengan permainan politik berunsur ekstrem yang hanya bersifat sementara.

Beliau turut mengambil contoh politik di Amerika Syarikat melibatkan Donald Trump yang didakwa semakin kehilangan sokongan di beberapa negeri selepas kemenangan penggal keduanya.

“Selepas menang kali kedua, Trump terus kalah di beberapa negeri lain kerana terbukti gaya pendekatan yang cuba dibawa menerusi politik ‘far right’ atau politik melampau dan ekstrem ini mungkin nampak popular, tetapi kita harus terus bekerja.

“Kadang-kadang langkah kerajaan seperti penyusunan semula subsidi tidak nampak popular. Namun, BUDI95 membuktikan bahawa walaupun ia kelihatan membebankan, seperti mana saya menyusun semula subsidi air percuma di Selangor, Alhamdulillah ia mampu memberikan kesejahteraan kepada rakyat.

“Penjimatan itu dikembalikan dalam bentuk SARA dan juga Sumbangan Tunai Rahmah (STR), terutama ketika kita berhadapan dengan krisis,” katanya.

Katanya, itulah ciri kerajaan yang bertanggungjawab dan bukan sekadar mahu meraih populariti seperti kejayaan yang dikecapi PH di Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Selangor.