SEREMBAN - Pakatan Harapan(PH) telah memuktamadkan pembahagian kerusi bagi kesemua 36 Dewan Undangan Negeri(DUN) di Negeri Sembilan menjelang Pilihan Raya Negeri(PRN) tidak lama lagi.
Naib Presiden PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, semua rundingan kerusi dapat diselesaikan secara muafakat.
"Kita dah selesaikan pembahagian kerusi. Terima kasih Tok Min(Datuk Seri Aminuddin Harun). Kerusi terakhir iaitu Sungai Lui yang mana Parti Amanah Negara(Amanah) nak, PKR pun nak.
"Kalau pembahagian kerusi sudah selesai, fokus kita adalah jentera pilihan raya malam ini, saya nak lantik semua yang hadir dalam dewan ini sebagai juru kempen bertauliah, " katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera PH Negeri Sembilan di sini pada Jumaat.
Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, PH menawarkan pendekatan politik yang lebih segar dan meyakinkan untuk diwarisi oleh generasi akan datang.
Tambahnya, kekuatan utama gabungan itu terletak pada kemampuannya menawarkan pilihan politik yang dapat diterima oleh rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum, budaya dan agama.
"Ini adalah jawapan kepada politik identtiti yang mengajak kita melihat satu bangsa, satu kaum dengan penuh prejudis dan prasangka,"katanya.
Terdahulu Aminuddin yang merupakan Pengerusi PH Negeri Sembilan dilaporkan berkata, Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan bertanding di 15 kerusi DUN, Parti Amanah Negara (Amanah) sembilan kerusi, manakala DAP kekal dengan 11 kerusi.
Jelasnya, urusan pemilihan calon sedang dimuktamadkan dan dijangka selesai dalam waktu terdekat.




