PRN Negeri Sembilan: Aminuddin belum pasti bertanding DUN mana

LocalPolitics
13 Jun 2026 • 8:47 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: PRN Negeri Sembilan: Aminuddin belum pasti bertanding DUN mana
Aminuddin (depan, kiri) pada Majlis Pelancaran Jentera PH Negeri Sembilan.

SEREMBAN - Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun masih berteka-teki mengenai kerusi yang akan ditandinginya pada pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.

Beliau juga tidak mengesahkan sama ada akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat yang disandangnya ketika ini atau sebaliknya.

"Bertanding di mana belum lagi, itu kemudian... kerana calon sedang dinilai dan saya akan serahkan kepada parti.

"Saya sedang menanti mimpi (keputusan bertanding di DUN mana) tapi saya akan bertanding, cumanya tempat saya akan maklum kemudian," katanya ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Jentera PH Negeri Sembilan di sini pada Jumaat.

Selain itu, beliau memaklumkan bahawa PH negeri berkenaan telah pun memuktamadkan pembahagian 36 kerusi DUN.

Menurutnya, Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan bertanding di 16 kerusi DUN, Parti Amanah Negara (Amanah) sembilan kerusi, manakala DAP kekal dengan 11 kerusi.

"Alhamdulillah....Kita telah tamatkan rundingan. Ini adalah proses pembahagian kerusi paling pantas dalam nak menghadapi pilihan raya.

"Saya rasa paling mudah dan alhamdulillah tiga parti memahami. Mereka yakin bahawa kali ini daripada 36 DUN yang kita bertanding, PKR akan bertanding di 16 DUN, DAP 11, dan Amanah akan bertanding di sembilan DUN," katanya.

Beliau berkata, urusan pemilihan calon sedang dimuktamadkan dan dijangka selesai dalam waktu terdekat.

Pada PRN 2023, Ahli Parlimen Port Dickson itu berjaya mempertahankan DUN Sikamat dalam pertembungan empat penjuru.

Beliau menang dengan majoriti 2,662 undi apabila berjaya memperoleh 12,730 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Ahmad Raihan Muhamad Hilal yang mendapat 10,068 undi serta dua calon Bebas iaitu Bujang Abu (83 undi) dan Mohammed Hafiz Baharudin (339 undi).