SHAH ALAM - Pakatan Harapan (PH) bakal menjadi pihak yang paling rugi sekiranya persefahaman antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) direalisasikan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, ada pihak mendakwa BN akan rugi menjalinkan persefahaman dengan PN, manakala sebahagian lagi berpandangan Pas pula yang akan menerima kesan negatif.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Pasir Mas itu berpandangan, hakikat sebenar ialah PH bakal menjadi pihak yang paling terjejas.
"Seorang kata BN rugi menjalinkan persefahaman dengan PN. Seorang lagi kata Pas yang rugi. Hakikatnya yang akan benar-benar rugi ialah PH.
"Jalan terus, jangan peduli kemuncup mengganggu. Sabtu ini pastikan PH karam di Negeri Sembilan," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.
Hantaran tersebut dipercayai merujuk kepada kenyataan beberapa pemimpin PH yang mendakwa BN berisiko 'ditelan' PN sekiranya meneruskan persefahaman dengan gabungan itu, selain Pas pula umpama 'serah tengkuk' kepada UMNO dalam agihan kerusi.
Sebelum ini, media melaporkan Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Syahredzan Johan mendakwa BN berisiko hilang pengaruh sekiranya meneruskan kerjasama dengan PN.
Dalam satu laporan lain, Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abd Samad pula berpandangan Pas terpaksa membuat pengorbanan besar dalam rundingan agihan kerusi.
Pada Rabu lepas, Presiden Parti Wawasan Negara (Wawasan), Datuk Seri Hamzah Zainudin mencadangkan kerjasama PN dan BN bagi menghadapi PRN Negeri Sembilan menggunakan nama Perikatan Barisan Nasional (PBN).
Menurut Ahli Parlimen Larut itu, penggunaan nama tersebut bertujuan mengelakkan kekeliruan dalam kalangan rakyat berhubung kerjasama kedua-dua gabungan politik berkenaan.






