IPOH – Pakatan Harapan (PH) perlu terus diberi mandat untuk mentadbir negara bagi memastikan usaha membanteras rasuah dan menghalang golongan yang menyalahgunakan wang rakyat daripada kembali berkuasa.
Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming berkata, kerajaan Madani berjaya menyita dan mendapatkan semula wang berjumlah RM15.5 bilion yang diperoleh daripada tindakan penguatkuasaan tegas terhadap kes rasuah, ketirisan, penyelewengan, serta aktiviti sindiket haram.
Menurutnya, wang berkenaan dikembalikan untuk manfaat rakyat sekali gus membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan hasil pemulihan aset tidak berakhir sebagai keuntungan peribadi pihak tertentu.
“Dalam tempoh kita menjadi kerajaan, sebanyak RM15.5 bilion duit yang disakau, dicuri dan dirompak oleh geng-geng penyakau berjaya kita sita dan kembalikan kepada rakyat Malaysia.
“Kerajaan Madani apabila mendapat balik duit ini kita kembalikan kepada rakyat. Tidak pernah ada kerajaan di Malaysia atau rantau ini melakukan perkara sebegitu,” katanya ketika berucap sempena Konvensyen DAP Perak ke-24 di Pusat Konvensyen Ipoh di sini pada Ahad.
Hadir sama Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.
Kor Ming yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, usaha memburu pihak yang didakwa terlibat dalam penyelewengan dana awam akan diteruskan, termasuk membabitkan Tabung Haji, Felda dan UiTM Holdings.
Beliau berkata, tindakan itu selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong supaya pihak yang bertanggungjawab dalam kes penyelewengan dibawa ke muka pengadilan.
Ahli Parlimen Teluk Intan itu juga yakin dengan reformasi dilaksanakan kerajaan, rakyat kembali memberikan mandat pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) nanti.
Belia turut menyifatkan gelombang biru yang cuba digerakkan oleh parti tertentu tidak akan berjaya mendapat sokongan.
"Saya yakin di mana rakyat akan sekali lagi memberi mandat kepada Pakatan Harapan. Dulu dia orang kata gelombang biru, akhirnya yang terjadi golongan haru-biru kini huru-hara.
"Yang sakau Tabung Haji itu bukan DAP, yang sakau Felda itu bukan DAP, yang sakau UiTM holding tu bukan DAP. Kesemua ni semua geng sakau biru dan hijau. Betul tak?
"Itulah sebabnya marilah kita bangkitkan gelombang merah, gelombang Harapan. Mula dari Melaka negeri bersejarah hingga menuju ke Putrajaya," katanya.
Dalam pada itu, beliau menyokong tindakan mahasiswa Universiti Malaya (UM) yang menyuarakan bantahan terhadap usaha mengutip derma untuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Menurutnya, suara mahasiswa berkenaan mencerminkan pendirian generasi muda yang menolak rasuah dan tidak mahu amalan itu dinormalisasikan dalam masyarakat.
Beliau turut menyambut baik keputusan pihak universiti untuk tidak mengenakan tindakan terhadap mahasiswa terbabit.
Jelasnya, masyarakat tidak seharusnya mengagungkan individu yang dikaitkan dengan rasuah kerana tindakan sedemikian boleh memberikan mesej salah kepada generasi akan datang.
“Jangan biarkan mereka ini berkuasa di negara kita. Sebab itu Pakatan Harapan kena menang. Pakatan Harapan bersama Anwar wajib menang untuk kita selamatkan negara ini daripada geng-geng penyakau.
“Ini tanah air kita. Tidak boleh kita lepaskan tangan begitu sahaja,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua pemimpin dan anggota DAP, termasuk wakil rakyat serta ketua kampung, supaya turun padang setiap minggu bagi memperkukuh persiapan menghadapi PRU16.






