DAP sasar pertahan semua tujuh kerusi Parlimen, 18 DUN di Perak

LocalPolitics
18 Oct 2026 • 1:57 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: DAP sasar pertahan semua tujuh kerusi Parlimen, 18 DUN di Perak

IPOH: DAP menyasarkan mempertahankan kesemua tujuh kerusi Parlimen dan 18 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenanginya di Perak pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, usaha itu menjadi keutamaan parti bagi memastikan DAP Perak terus menyumbang kerusi untuk membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan.

Menurutnya, sasaran berkenaan juga selari dengan keyakinan parti itu untuk terus kekal dalam kerajaan negeri Perak selepas PRU16.

“Kita mahu mempertahankan tujuh kerusi Parlimen dan 18 DUN di Perak supaya kekal dan menang keseluruhannya. Ini tugas yang paling penting. Ini adalah seruan untuk kita masuk gelanggang PRU16,” katanya pada Konvensyen Tahunan DAP Negeri Perak Ke-24 di sini hari ini. Turut hadir Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming.

Menurutnya, kekalahan DAP dalam pilihan raya negeri (PRN) di Sabah, Johor dan Melaka tidak menjejaskan keyakinan parti itu terhadap kedudukannya di Perak, yang disifatkannya mempunyai kekuatan tersendiri berikutan jumlah pengundi bukan Melayu yang ramai.

“DAP kalah dalam PRN di Sabah, Johor dan Melaka, namun di Perak kita masih ada kekuatan kerana Perak berlainan, pengundi bukan Melayu ramai. DAP mempunyai kekuatan tersendiri di Perak,” katanya.

Beliau berkata, keyakinan itu turut disokong prestasi DAP Perak di bawah kepimpinan Kor Ming yang menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) yang sangat ketat kepada semua wakil rakyat sebagai ukuran prestasi dan penentu kelayakan mereka untuk dicalonkan semula pada PRU16.

Katanya, KPI berkenaan merangkumi khidmat masyarakat, kerja di kawasan, gerak kerja parti serta usaha memperkukuh organisasi, dengan kehadiran wakil rakyat di kawasan masing-masing menjadi antara aspek paling penting.

“Saya lihat sistem yang dilaksanakan ini sangat berkesan. DAP Perak sangat aktif di lapangan. Wakil rakyatnya bekerja sepanjang masa. Sudah tentu kalau sesiapa yang kurang aktif itu kita akan pastikan ada perubahan,” katanya.

Menurutnya, sistem pemantauan itu turut menjadi peringatan kepada wakil rakyat bahawa prestasi yang tidak memuaskan boleh menjejaskan peluang mereka untuk dipilih sebagai calon pada pilihan raya akan datang.

“Melalui sistem ini, parti selalu mengingatkan kalau prestasi mereka tidak baik maka kemungkinan mereka tidak dicalonkan akan lebih tinggi.

“Ini satu tekanan kepada wakil rakyat untuk mereka bekerja sebaik mungkin. Setiap negeri ada cara pemantauan mereka, tetapi Perak pemantauannya sangat ketat. Sebab itu saya lihat kesannya wakil rakyatnya sangat aktif di lapangan,” katanya.- UTUSAN 

 

 

The post DAP sasar pertahan semua tujuh kerusi Parlimen, 18 DUN di Perak appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved