PH Sabah gesa baki RM900 juta dibayar sebelum sidang DUN

LocalPolitics
20 Nov 2026 • 5:37 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: PH Sabah gesa baki RM900 juta dibayar sebelum sidang DUN
Mustapha (kanan) pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat PH Sabah di Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU - Pakatan Harapan (PH) Sabah menggesa supaya baki bayaran interim sebanyak RM900 juta berkaitan tuntutan 40 peratus hasil Sabah disegerakan sebelum persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dijadual berlangsung awal Disember depan.

Pengerusinya, Datuk Mustapha Sakmud berkata, bayaran berkenaan penting bagi memastikan keseluruhan peruntukan interim berjumlah RM1.5 bilion dapat dimasukkan dalam hasil negeri untuk dibelanjakan bagi memenuhi keperluan rakyat pada tahun depan.

"Seperti yang kita sedia maklum, jumlah bayaran interim itu telah ditingkatkan kepada RM1.5 bilion. Sebanyak RM600 juta yang diwartakan sebelum ini sudah dibayar, manakala baki RM900 juta kini dalam proses akhir sebelum disalurkan kepada kerajaan negeri.

"Kita mahu supaya pembayaran ini perlu dibuat sebelum sidang DUN pada Disember ini. Saya sendiri sudah bertemu Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Johan Merican untuk menyampaikan hasrat kerajaan negeri supaya pembayaran itu dipercepatkan," katanya.

Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) berkata demikian ketika ditemui selepas mesyuarat PH Sabah di sini, pada petang Jumaat.

Mustapha berkata, pihaknya turut mencadangkan supaya mekanisme pembayaran interim pada masa akan datang dilaksanakan secara progresif dengan peningkatan jumlah setiap tahun, berdasarkan hasil yang dijana agensi Persekutuan di Sabah.

"Cadangan kita, apabila pewartaan dibuat mulai tahun depan, nilainya tidak lagi mendatar untuk tempoh lima tahun, sebaliknya meningkat secara progresif setiap tahun.

"Jumlah peningkatan itu boleh dirunding dan dipersetujui bersama oleh kerajaan negeri dan Persekutuan sehingga nilai sebenar tuntutan 40 peratus hasil Sabah dapat ditentukan," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Sepanggar berkata, proses pembayaran baki RM900 juta itu kini hanya melibatkan urusan teknikal di peringkat kerajaan Persekutuan sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat dan seterusnya Dewan Negara untuk makluman.

Katanya, pewartaan berkenaan telah ditandatangani Yang di-Pertuan Agong dan pihaknya berharap proses seterusnya dapat diselesaikan segera bagi membolehkan bayaran dibuat sebelum pembentangan Belanjawan Sabah 2027.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved