
SEREMBAN – Pakatan Harapan (PH) menyasarkan untuk merampas kembali kerusi Parlimen Tampin pada pilihan raya umum (PRU) akan datang, dengan jentera gabungan itu diminta memperkukuh gerak kerja dan mendekati pengundi mulai sekarang.
Naib Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, semua pihak perlu bekerja lebih keras bagi mengembalikan keyakinan rakyat, selain membuktikan kemampuan PH menerusi prestasi pentadbiran dan khidmat kepada masyarakat.
Beliau yang juga Pengerusi PH Negeri Sembilan berkata, usaha merampas kembali Tampin perlu menjadi antara tumpuan utama gabungan itu dalam persiapan menghadapi PRU yang dijangka berlangsung pada Oktober atau November tahun depan.
“Pastikan kita menang. Kita mahu kembalikan maruah kita di Tampin. Semua perlu bekerja dan menunjukkan kepada rakyat apa yang telah kita laksanakan.
“Rakyat melihat siapa yang boleh bekerja dan siapa yang hanya bercakap besar tetapi tidak mampu melaksanakan tanggungjawab,” katanya ketika berucap pada Konvensyen DAP Negeri Sembilan di Seremban hari ini.
Mengulas kekalahan PH pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan sebelum ini, Aminuddin berkata, pengalaman itu perlu dijadikan pengajaran, khususnya dalam menangani sentimen perkauman yang didakwa memecahkan sokongan terhadap gabungan berkenaan.
Katanya, kempen menolak DAP dengan memainkan sentimen Melayu dilihat memberi kesan kepada sokongan pengundi, termasuk di kawasan majoriti Melayu yang menyaksikan calon Melayu PH turut tewas. – KOSMO! ONLINE
The post PH sasar rampas kembali Parlimen Tampin appeared first on Kosmo Online.






