Pendekatan ‘BIRU’ mampu ubah persepsi, tawan pengundi

LocalPolitics
12 Sep 2026 • 6:13 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Pendekatan ‘BIRU’ mampu ubah persepsi, tawan pengundi

KUALA LUMPUR – UMNO perlu memperkukuh Agenda Malaysia Biru menerusi empat pendekatan ‘BIRU’ bagi mendekati rakyat secara berterusan, merampas hati pengundi dan mengubah persepsi terhadap parti.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan gelombang biru yang bermula ketika ini dapat berkembang menjadi “tsunami Biru” di seluruh negara.

Beliau yang juga Menteri Besar Pahang berkata, Agenda Malaysia Biru tidak boleh sekadar menjadi slogan, sebaliknya perlu diterjemahkan menerusi gerak kerja di peringkat akar umbi.

“Biru ini bukan sekadar warna, bukan sekadar slogan tetapi satu gerak kerja yang bukan hanya diukur dengan ramai orang datang ke program, tetapi bagaimana kita menukar kehadiran itu kepada undi,” katanya ketika ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO 2026 di sini semalam.

Menurut Wan Rosdy, empat pendekatan itu ialah Bina hubungan, Ikat pengundi, Rampas hati dan Ubah persepsi.

Katanya, UMNO perlu membina hubungan dengan rakyat bukan hanya ketika pilihan raya, sebaliknya sepanjang masa termasuk mendekati golongan muda, profesional, usahawan, petani, pekerja dan wanita.

“Kita kena masuk ruang mereka, kita duduk sembang dengan mereka dan selesaikan isu mereka. Jangan biarkan UMNO hanya dikenali ketika musim pilihan raya,” katanya.

Dalam pendekatan kedua, Wan Rosdy berkata pengundi perlu “diikat” menerusi khidmat, kepercayaan dan usaha membantu menyelesaikan masalah mereka.

“Jangan hanya meminta undi. Kita mesti memberikan sebab untuk rakyat terus percaya kepada UMNO,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan ketiga pula ialah merampas hati rakyat melalui kerja nyata, bahasa yang dekat dengan mereka serta kepimpinan yang memahami kehidupan seharian rakyat.

Katanya, perhatian juga perlu diberikan kepada pengundi atas pagar, golongan muda dan kelompok yang mula menjauhi UMNO.

“Rakyat tidak mahu mendengar apa yang kita katakan. Mereka mahu melihat apa yang kita lakukan untuk mereka,” katanya.

Sementara itu, Wan Rosdy berkata UMNO juga perlu berani mengubah persepsi terhadap parti dengan mengetengahkan sendiri rekod perkhidmatan, perjuangan dan tawaran masa depan kepada rakyat.

“Jangan biarkan orang lain menentukan cerita tentang kita. Kita sendiri mesti membawa naratif perjuangan, pencapaian dan tawaran masa depan kepada rakyat,” katanya.-KOSMO! ONLINE

The post Pendekatan ‘BIRU’ mampu ubah persepsi, tawan pengundi appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved