PH Selangor perlu nilai semula kedudukan BN - AMK

LocalPolitics
28 Apr 2026 • 3:08 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: PH Selangor perlu nilai semula kedudukan BN - AMK
PH Selangor perlu meneliti semula secara serius kedudukan BN dan UMNO dalam struktur kerajaan negeri. Gambar kecil: Danish

 

SHAH ALAM - Pakatan Harapan (PH) Selangor perlu meneliti semula secara serius kedudukan Barisan Nasional (BN) dan UMNO dalam struktur kerajaan negeri termasuk peranan dalam pentadbiran, agensi serta kedudukan strategik yang dikongsi bersama.

Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Danish Hairuddin berkata, langkah itu penting bagi memastikan kerjasama politik kekal berteraskan kejujuran, disiplin dan kesetiaan kepada mandat rakyat serta rakan gabungan.

"Jika ada pihak yang terus bermain dua wajah, di mana di satu negeri bekerjasama, di negeri lain menggugat kestabilan, maka penilaian semula adalah wajar dan perlu dilakukan.

"Selangor sebagai negeri maju dan penyumbang utama ekonomi negara tidak boleh kompromi dengan permainan politik yang tidak konsisten," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.

Sebelum ini Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhammad Akmal Salleh menegaskan pendiriannya menolak sebarang usaha menubuhkan kerajaan melalui kaedah 'tebuk atap', sebaliknya menggesa semua pihak menghormati mandat rakyat.

Ia susulan krisis yang berlaku di Negeri Sembilan apabila 14 Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) BN negeri itu yang mengumumkan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun pada Isnin.

Dalam pada itu, Danish menyifatkan kenyataan Muhammad Akmal sebagai sinis memandangkan sejarah politik negara pernah menyaksikan episod pengkhianatan mandat rakyat.

"Rakyat masih ingat siapa yang pernah mencorakkan politik pintu belakang dan merobek mandat diberikan.

"Jangan terlalu ghairah menunjuk jari, sedangkan sejarah sendiri belum diselesaikan," ujarnya.

Danish berkata, kerajaan Negeri Sembilan yang terbentuk ketika ini adalah hasil mandat jelas rakyat menerusi gabungan PH dan BN, bukannya melalui rundingan politik secara tersembunyi.

Sehubungan itu beliau berpandangan, tidak sepatutnya timbul isu penarikan sokongan oleh BN sekiranya semangat setiakawan dalam gabungan dipelihara.

"Jika ada sebarang perbezaan pandangan, salurannya adalah rundingan dan perbincangan, bukan ugutan politik atau percaturan politik belakang.

"Itulah asas Kerajaan Perpaduan yang matang dan semangat setiakawan," katanya.