'Sokong cadangan ternakan babi moden, rujuk teknologi China' - ADUN Pandamaran

LocalPolitics
23 Apr 2026 • 4:31 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Sokong cadangan ternakan babi moden, rujuk teknologi China' - ADUN Pandamaran
Tuck Chee (gambar kecil) menyokong cadangan meneliti semula kaedah penternakan babi secara moden dengan mengambil kira teknologi digunakan di China. Foto hiasan

SHAH ALAM - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pandamaran, Leong Tuck Chee turut menyokong cadangan meneliti semula kaedah penternakan babi secara moden dengan mengambil kira teknologi digunakan di China yang didakwa lebih bersih dan efisien.

Beliau berkata, kaedah penternakan di negara itu kini berada pada tahap sangat maju sehingga hampir tiada pencemaran bau serta sistem pengurusan sisa yang lebih terkawal.

"Di China, saya lihat sendiri penternakan babi mereka sangat moden, tidak ada bau dan pencemaran.

"Proses rawatan sisa juga sangat canggih sehingga air yang telah dirawat itu boleh digunakan semula,” katanya ketika ditemui pada Khamis.

Menurutnya, perkembangan industri itu juga menyebabkan bekalan babi di China melebihi permintaan, sekali gus menurunkan harga pasaran hasil peningkatan kecekapan penternakan.

Tuck Chee berkata, model berkenaan boleh dijadikan rujukan termasuk oleh beberapa kawasan lain seperti di Sarawak yang didakwa telah mengadaptasi pendekatan sama.

"Kalau Sarawak boleh laksanakannya dengan kaedah moden, kenapa Selangor tidak boleh mempertimbangkannya,” katanya.

Bagaimanapun beliau menegaskan, cadangan itu bukan bertujuan mencetuskan pertikaian, sebaliknya sebagai usaha mencari pendekatan lebih baik dalam pengurusan industri ternakan.

"Kita bukan mahu lawan mana-mana pihak, tetapi berharap perkara ini dapat diteliti dengan lebih terbuka demi kepentingan semua," tambah beliau.