PH Selangor sukar tawan kawasan luar bandar

Politics
29 Oct 2022 • 10:16 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Gambar hiasan

SHAH ALAM - Bukan mudah untuk Pakatan Harapan (PH) menawan kerusi Parlimen kawasan luar bandar di Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata penganalisis yang melihat pengundi di kerusi tersebut cenderung untuk memihak kepada Barisan Nasional (BN) atau Pas.

Pengerusi PH Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari sebelum ini dilaporkan berkata, PH yang kini menyandang 16 daripada 22 kerusi Parlimen di Selangor, akan memberikan tumpuan kepada kawasan luar bandar seperti Sungai Besar dan Sabak Bernam bagi memastikan calon parti itu menang pada PRU15.

Penganalisis Keselamatan dan Politik, Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, kawasan luar bandar di Selangor yang majoriti penduduknya Melayu kebiasaannya adalah kubu kuat UMNO atau Pas.

Beliau berkata, PH mungkin akan menggunakan strategi untuk meraih undi popular dengan meletakkan ‘nama-nama besar’ di kerusi berkenaan bagi meningkatkan sokongan pengundi luar bandar.

Penganalisis politik Pensyarah Kanan Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfik Yaakub turut senada dengan Noor Nirwandy yang melihat masih sukar untuk PH menawan kerusi Parlimen seperti Sabak Bernam dan sekitarnya yang majoriti dihuni penduduk Melayu.

"Sekalipun PH meletakkan calon Melayu di kerusi berkenaan, namun lambang PH yang digunakan tidak mampu menjadi ‘batu loncatan’ untuk memenangi hati penduduk di kawasan itu," katanya.

Penganalisis politik, Dr Azmi Hassan berkata, pengundi di luar bandar terutamanya Melayu dilihat tetap mempunyai persepsi negatif terhadap calon PH terutamanya berkait dengan parti DAP.

Amirudin sebelum ini mengumumkan PH Selangor akan meletakkan calon PKR di kerusi Parlimen Sungai Besar dan Amanah di kerusi Parlimen Sabak Bernam.

Kerusi Parlimen Sabak Bernam yang dimenangi UMNO pada PRU14 bertukar menjadi milik Bersatu apabila penyandangnya Datuk Mohamad Fasiah Mohd Fakeh mengumumkan keluar daripada UMNO untuk menyertai Bersatu, manakala penyandang kerusi Parlimen Sungai Besar adalah Datuk Muslimin Yahaya adalah daripada Bersatu. - Bernama