PH umum calon PRN Negeri Sembilan malam ini, empat ‘kerusi panas’ curi tumpuan

LocalPolitics
14 Jul 2026 • 1:35 PM MYT
Twentytwo13
Twentytwo13

Twentytwo13 brings you insights on issues that matter to the people.

PH umum calon PRN Negeri Sembilan malam ini, empat ‘kerusi panas’ curi tumpuan

SEREMBAN: Semua mata kini tertumpu ke arah Negeri Sembilan susulan berakhirnya Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Sabtu lalu.

Malam ini, Pakatan Harapan (PH) akan mengumumkan calon bakal bertanding di PRN Negeri Sembilan. Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal mengumumkan Calon PH PRN Negeri Sembilan di Dataran Melang, Kuala Pilah.

Barisan Nasional juga bakal mengumumkan calon PRN parti itu minggu ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan 18 Julai sebagai hari penamaan calon bagi PRN Negeri Sembilan, manakala pengundian awal pada 28 Julai dan hari mengundi pada 1 Ogos.

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook (gambar utama) ketika ditemui, baru-baru ini, mengesahkan beliau akan terus mempertahankan kerusi DUN Chennah pada PRN Negeri Sembilan selepas mendapat persetujuan daripada Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti serta jawatankuasa peringkat negeri.

Pengerusi DAP Negeri Sembilan itu turut menegaskan bahawa DAP akan bertanding 11 kerusi dan mahu memenangi semua kerusi berkenaan.

Dalam masa sama, Loke menyasarkan PH negeri memenangi sekurang-kurangnya 20 kerusi DUN pada PRN kali ini dan berkeyakinan ia boleh dicapai bersandarkan rekod gabungan itu yang pernah memenangi 20 daripada 36 kerusi DUN pada Pilihan Raya Umum ke-14.

“Sasaran PH ialah menang sekurang-kurangnya 20 kerusi untuk membolehkan kita meneruskan pentadbiran kerajaan negeri bagi tempoh lima tahun akan datang.

“Untuk itu, kita akan memainkan peranan untuk menyokong rakan-rakan dalam PH bagi memenangi kerusi-kerusi lain.

“Berdasarkan rekod kita pernah memenangi 20 kerusi pada tahun 2018. Jadi, kita berharap rakyat Negeri Sembilan akan memberikan mandat kepada PH untuk terus mentadbir negeri ini bagi tempoh lima tahun akan datang,” katanya yang menegaskan bahawa parti itu akan memainkan peranan bersungguh-sungguh untuk memenangi semua kerusi yang ditandingi.

Satu lagi kerusi yang dianggap ‘panas’ dan menjadi perhatian pemerhati politik ialah DUN Sikamat dengan penyandangnya adalah Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.

Pengerusi PH Negeri Sembilan itu bagaimanapun setakat ini masih berteka-teki mengenai kerusi yang akan ditandinginya ketika desas desus mengatakan beliau akan bertukar ke kerusi DUN Linggi.

Malah, beliau juga tidak mengesahkan sama ada akan mempertahankan kerusi DUN Sikamat yang disandangnya.

“Bertanding di mana belum lagi, itu kemudian… kerana calon sedang dinilai dan saya akan serahkan kepada parti.

“Saya sedang menanti mimpi (keputusan bertanding di DUN mana) tapi saya akan bertanding, cumanya tempat saya akan maklum kemudian,” kata Aminuddin yang juga Naib Presiden PKR.

Pada PRN 2023, Ahli Parlimen Port Dickson itu berjaya mempertahankan DUN Sikamat dalam pertembungan empat penjuru.

Beliau menang dengan majoriti 2,662 undi apabila berjaya memperoleh 12,730 undi menewaskan calon PN, Ahmad Raihan Muhamad Hilal yang mendapat 10,068 undi serta dua calon Bebas iaitu Bujang Abu (83 undi) dan Mohammed Hafiz Baharudin (339 undi).

Di antara ‘kerusi panas’ lain dalam PRN Negeri Sembilan juga membabitkan DUN Rantau yang disandang Timbalan Presiden Umno merangkap Ketua Umno Bahagian Rembau, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Mohamad yang juga Pengerusi BN Negeri Sembilan mula memenangi kerusi terbabit pada pilihan raya umum (PRU) 2004 dan kekal menyandang kerusi itu sehingga kini.

Beliau dikatakan bakal bertanding sekali lagi di kerusi berkenaan pada PRN walaupun perkara itu belum dimuktamadkan kerana BN setakat ini belum mengumumkan senarai nama calon yang akan dipertaruhkan pada pilihan raya kali ini.

“Saya tiada masalah untuk bertanding dan bersedia untuk mempertahankan kerusi DUN Rantau pada PRN Negeri Sembilan kali ini jika itu keputusan yang dibuat oleh pimpinan tertinggi parti,” kata Mohamad yang juga Menteri Luar, ketika ditemui pemberita di Seremban, baru-baru ini.

Mohamad sebelum ini berjaya mempertahankan kerusi DUN Rantau pada PRN 2023 dengan majoriti 10,280 undi selepas memperoleh 16,957 undi, menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Rozmal Malakan yang meraih 6,677 undi..

Ahli Parlimen Rembau itu telah menyandang kerusi DUN Rantau sejak 2004 dan pernah berkhidmat sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan dari 2004 hingga 2018.

BN bakal mengumumkan calon mereka pada 15 Julai ini yang diadakan serentak dengan pelancaran jentera pilihan raya parti itu.

Sementara itu, kerusi DUN Labu yang dimenangi Ketua Bersatu Negeri Sembilan, Mohamad Hanifah Abu Baker pada PRN 2023 juga dijangka mencuri tumpuan berdasarkan status individu terbabit sebagai bekas ketua pembangkang.

Mohamad Hanifah dijangka akan mempertahankan kerusi berkenaan pada PRN kali ini namun beliau dijangka bakal berhadapan dengan tugas mencabar kerana BN dikatakan sedang berusaha untuk merampas kembali kerusi berkenaan.

Untuk rekod pada PRN ke-15, PH-BN membentuk kerajaan negeri selepas parti gabungan itu membabitkan DAP menang 11 kerusi, PKR (lima) dan satu Amanah manakala BN memenangi 14 kerusi untuk mengumpul majoriti 31 kerusi.

Gabungan PN memenangi lima kerusi dengan PAS menang tiga kerusi iaitu DUN Paroi, DUN Bagan Pinang dan DUN Serting manakala dua oleh calon Bersatu membabitkan DUN Labu dan DUN Gemas.

Daftar Pemilihan Pilihan Raya bagi PRN Negeri Sembilan mengandungi 889,490 pemilih terdiri daripada 867, 152 pengundi biasa, 16,884 pengundi tentera serta pasangan dan 5,455 polis.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved