Pharmaniaga peroleh kontrak insulin RM281.7 juta daripada KKM

LocalBusiness & Finance
28 May 2026 • 6:15 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pharmaniaga peroleh kontrak insulin RM281.7 juta daripada KKM Image from: Pharmaniaga peroleh kontrak insulin RM281.7 juta daripada KKM hamden28/05/2026 - 18:15 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 28 Mei - Pharmaniaga Berhad menerusi anak syarikat milik penuhnya, Pharmaniaga LifeScience Sdn. Bhd. (PLS) telah memperoleh kontrak pembekalan insulin manusia selama tiga tahun bernilai RM281.7 juta daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

 

Kumpulan itu berkata kontrak tersebut merangkumi kira-kira 70% daripada jumlah keseluruhan volum tender, sekali gus mengukuhkan skala operasi serta keupayaan kumpulan dalam memenuhi keperluan bekalan berskala besar di peringkat nasional.

 

Penganugerahan itu juga dijangka memperkukuh asas pendapatan berulang kumpulan dalam segmen kesihatan awam, selain meningkatkan keterlihatan pendapatan sepanjang tempoh kontrak berkenaan.

 

Menurut kumpulan itu, kejayaan memperoleh kontrak berkenaan turut mengukuhkan kedudukannya dalam segmen biofarmaseutikal, khususnya dalam pengeluaran dan pembekalan rawatan penyakit kronik seperti insulin.

 

Peningkatan permintaan terhadap rawatan berasaskan insulin dilihat membuka peluang pertumbuhan jangka panjang kepada Pharmaniaga, di samping menyokong pembangunan ekosistem pembuatan farmaseutikal tempatan yang lebih berdaya tahan.

 

Pengarah Urusan Datuk Zulkifli Jafar berkata penganugerahan itu mencerminkan keyakinan berterusan KKM terhadap keupayaan pembuatan, kepakaran tempatan serta fasiliti syarikat.

 

“Kami berbesar hati atas kepercayaan yang diberikan dalam menyokong keutamaan kesihatan negara. Kontrak ini selari dengan hala tuju strategik kami di bawah Vision ONE30,” katanya.

 

Beliau berkata strategi berkenaan memberi fokus kepada pembangunan keupayaan biofarmaseutikal, pengukuhan segmen ubat generik, kecemerlangan logistik serta penerokaan bidang pertumbuhan baharu bagi memastikan pertumbuhan mampan jangka panjang.

 

Menurutnya, perkembangan itu juga penting ketika persekitaran geopolitik global menekankan keperluan untuk memperkukuh rantaian bekalan farmaseutikal domestik yang lebih berdaya tahan.

 

Pengukuhan kapasiti pembuatan tempatan bagi rawatan penyakit kronik seperti insulin, katanya, adalah penting bagi memastikan keselamatan bekalan ubat negara serta akses rawatan berterusan kepada rakyat. - DagangNews.com

Terkini featured standard
View Original Article