haziq06/01/2026 - 09:20 Oleh HAZIQ HAKIMI haziq@dagangnews.com KUALA LUMPUR 6 Jan – Pharmora Investment Holdings Pte Ltd berjaya dalam tawaran pengambilalihan sukarela ke atas Apex Healthcare Bhd selepas memperoleh pegangan sebanyak 95.43%, sekali gus membuka laluan untuk menyahsenarai dan menswastakan kumpulan farmaseutikal itu.
Menurut kenyataan UOB Kay Hian (M) Sdn Bhd, Pharmora bersama pihak yang bertindak secara bersama telah melepasi ambang 90% yang diperlukan untuk menyahsenarai Apex Healthcare daripada Bursa Malaysia.
Sehubungan itu, Bursa Securities akan menggantung dagangan saham Apex Healthcare bermula 13 Januari 2026, sementara Pharmora dan penawar muktamad bersama mengambil langkah-langkah diperlukan bagi proses penyahsenaraian.
Pharmora merupakan kenderaan tujuan khas (SPV) kepada firma ekuiti persendirian berfokuskan penjagaan kesihatan, Quadria Capital Investment Management Pte Ltd, yang disokong oleh Temasek Holdings (Private) Ltd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Pengambilalihan ini dilaksanakan melalui kerjasama dengan pemegang saham utama Apex Healthcare, Dr Kee Kerk Chin yang juga Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan tersebut.
Menurut notis berkenaan, pihak penawar akan meneruskan pengambilalihan secara mandatori ke atas baki saham Apex Healthcare yang masih belum dimiliki.
Setakat 30 Disember 2025, penerimaan sah telah melepasi 90% daripada saham tawaran, melayakkan penawar memulakan proses pemerolehan mandatori ke atas pemegang saham yang tidak bersetuju.
Notis pemerolehan mandatori dijangka dikeluarkan selewat-lewatnya pada 28 Februari 2026.
Tawaran pengambilalihan pada harga RM2.64 sesaham itu dilancarkan pada 28 November 2025 dan pada asalnya ditutup pada 19 Disember sebelum dilanjutkan ke 2 Januari dan seterusnya 5 Januari 2026.
Tawaran tersebut menjadi tanpa syarat pada 22 Disember 2025 selepas ambang 90% dicapai. - DagangNews.com

