Malaysia, Thailand bukan lagi `Raja Durian', Vietnam ambil alih pasaran China dalam 3 tahun, kata pakar Asean

LocalBusiness & Finance
6 Jan 2026 • 12:49 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Malaysia, Thailand bukan lagi `Raja Durian', Vietnam ambil alih pasaran China dalam 3 tahun, kata pakar Asean image is not available haziq06/01/2026 - 12:49 Oleh HAZIQ HAKIMI haziq@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 6 Jan – Vietnam dengan pantas muncul sebagai pencabar utama dalam pasaran durian China selepas berjaya meningkatkan pegangan pasarannya daripada 0% kepada lebih 40% dalam tempoh hanya tiga tahun, sekali gus mengancam dominasi Thailand yang telah bertahan selama beberapa dekad, menurut laporan The Nation Thailand/ANN.

 

Vietnam mula mengeksport durian secara rasmi ke China pada 2020 dan menjelang 2024, nilai eksport duriannya ke negara itu mencecah AS$3 bilion, menandakan skala persaingan yang semakin sengit dalam sektor pertanian bernilai tinggi tersebut.

 

Laporan itu turut menyatakan negara-negara pengeluar durian Asia Tenggara lain seperti Malaysia dan Indonesia juga berdepan tekanan akibat perubahan landskap pasaran China.

 

Persaingan dijangka terus memuncak susulan Malaysia yang baru-baru ini diberi kebenaran mengeksport durian segar ke China, menjadikan pasaran durian sebagai medan persaingan paling agresif dalam hubungan perdagangan Asean–China.

 

Menurut laporan analisis terkini HSBC yang dikupas oleh Witchuda Chitchan, koridor perdagangan Asean–China kini sedang melalui perubahan besar apabila Vietnam semakin menghampiri monopoli durian Thailand yang sebelum ini dianggap sukar ditembusi.

 

Laporan itu menyatakan hubungan ekonomi antara Asean dan China kini berada pada tahap tertinggi, dipacu oleh lonjakan Pelaburan Langsung Asing (FDI) China serta permintaan kukuh terhadap komoditi pertanian.

 

Ahli Ekonomi Asean di HSBC Global Research, Yun Liu berkata, perdagangan dua hala antara Asean dan China mencapai AS$984 bilion pada 2024.

 

Asean kini mengekalkan kedudukan sebagai rakan dagang terbesar China selama lima tahun berturut-turut, dengan 2026 dijangka menyaksikan jumlah dagangan yang lebih tinggi.

 

Walaupun barangan elektrik dan elektronik (E&E) menyumbang 30% daripada perdagangan tersebut, laporan itu menegaskan pasaran durian muncul sebagai medan persaingan paling sengit.

 

Thailand telah mendominasi import durian China sejak 2005, namun laporan Chitchan menyorot gangguan besar oleh Vietnam.

 

Vietnam, selepas memulakan eksport rasmi pada 2020, merekodkan eksport durian bernilai US$3 bilion pada 2024, dengan pegangan pasaran melonjak kepada lebih 40% dalam tempoh tiga tahun.

 

Menurut laporan itu, persaingan dijangka bertambah sengit selepas Malaysia mendapat kelulusan mengeksport durian segar ke China pada Ogos tahun lalu.

 

Dalam konteks lebih luas, ketegangan perdagangan berterusan antara Washington dan Beijing telah mengukuhkan kedudukan Asean sebagai destinasi utama strategi “China Plus One”.

 

Negara-negara ASEAN-6 kini menarik 14.5% daripada FDI global, dengan sebahagian besar pelaburan datang dari China.

 

Laporan The Nation Thailand/ANN yang memetik analisis HSBC turut memperincikan bagaimana China menyesuaikan pelaburannya mengikut kekuatan tempatan, antaranya:


•    Thailand muncul semula sebagai hab kenderaan elektrik (EV) dengan kehadiran pengeluar seperti BYD, Great Wall Motor dan SAIC

 

•    Indonesia menarik syarikat peleburan nikel dan bateri termasuk CATL dan Tsingshan


•    Vietnam mengukuhkan peranannya sebagai pusat pemasangan elektronik pengguna global

 

HSBC turut menyatakan walaupun terdapat risiko tarif susulan kemungkinan pentadbiran kedua Donald Trump di Amerika Syarikat, momentum pelaburan China di Asia Tenggara dijangka tidak terjejas.

 

Di Thailand, permohonan FDI melonjak kepada hampir 7% daripada KDNK, dengan 40% pelaburan yang diluluskan bagi 2025 datang dari China terutamanya dalam sektor digital, logam dan elektronik.

 

Namun, laporan itu turut memberi amaran mengenai potensi cabaran termasuk Pilihan Raya Umum pada Februari 2026 serta ketegangan sempadan serantau yang masih berlarutan.

 

HSBC menyimpulkan kejayaan jangka panjang Asean bukan sekadar menjadi alternatif sementara kepada China tetapi terletak pada keupayaannya mengekalkan dan memperluaskan penguasaan pasaran global melalui hubungan industri dan perdagangan yang semakin kukuh.  - DagangNews.com

Terkini featured standard