hamden27/07/2026 - 17:41 KUALA LUMPUR 27 Julai - Pelaburan Hartanah Bhd (PHB), cabang pelaburan Yayasan Pelaburan Bumiputera dilaporkan telah meletakkan asetnya, The Shore Shopping Gallery di Melaka untuk dijual, menurut sumber industri.
Pusat beli-belah empat tingkat itu dipasarkan menerusi proses permintaan menyatakan minat (EOI) dengan CBRE | WTW bertindak sebagai ejen pemasaran eksklusif, lapor The Edge.
PHB membeli pusat beli-belah tersebut pada 2015 dengan harga RM212 juta. Pada Februari 2025, dalam perbahasan di Parlimen, melaporkan nilai hartanah berkenaan telah berkurangan lebih separuh kepada RM90 juta.
Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada Mac lalu, berkata akan meneliti PHB berhubung isu tadbir urus dalam pengurusan pembangunan hartanah, yang merupakan satu daripada tigfa isu didibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara.
Terletak di laluan pelayaran Sungai Melaka berhampiran Menara Taming Sari, The Shore Shopping Gallery mempunyai keluasan kira-kira 260,000 kaki persegi dengan keluasan boleh disewa bersih melebihi 190,000 kaki persegi, selain kemudahan parkir empat tingkat.
Pusat beli-belah itu merupakan sebahagian daripada pembangunan bercampur The Shore yang turut merangkumi The Shore Hotel & Residences dan hotel empat bintang Swiss Garden International Hotel.
Harga Jualan Munasabah
Firma CBRE| WTW yang dihubungi The Edge mengesahkan dilantik sebagai ejen pemasaran sah, namun enggan mengulas lanjut.
Tiada harga jualan didedahkan namun sumber industri menjangkakan harga jualan munasabah bagi aset tersebut adalah sekitar atau sedikit lebih rendah daripada nilai indikatif RM90 juta, memandangkan cabaran pasaran runcit Melaka yang semakin kompetitif.
Menurut sumber berkenaan, The Shore Shopping Gallery mungkin lebih berpotensi jika ditukar kepada konsep khusus seperti pusat beli-belah bertemakan kesihatan dan kesejahteraan, berbanding bersaing secara langsung dengan pusat beli-belah arus perdana seperti Mahkota Parade dan Dataran Pahlawan.
Ketika ini, kadar penghunian pusat beli-belah berkenaan dianggarkan sekitar 60%, dengan The Shore Oceanarium menjadi penyewa utama.
Seorang ejen hartanah tempatan berkata, Mahkota Parade yang beroperasi sejak 1994 serta AEON Mall Bandaraya Melaka kekal sebagai antara pusat beli-belah paling kukuh di negeri itu dengan sokongan kunjungan penduduk tempatan dan pelancong.
Berdasarkan Malaysia Property Outlook 2026 oleh Henry Butcher Malaysia, sektor runcit Melaka merekodkan tekanan pada 2025 apabila ruang sedia ada, ruang diduduki dan kadar penghunian masing-masing merosot sebanyak 11.0%, 19.6% dan 9.7%.
Bagaimanapun, sektor itu dijangka menerima sokongan daripada pelaksanaan Tahun Melawat Malaysia 2026 yang berpotensi meningkatkan jumlah pelancong ke Melaka dan membantu menstabilkan pasaran runcit negeri.
Pelupusan Aset Lain
Sementara itu, PHB juga dilaporkan sedang melupuskan beberapa aset lain termasuk CP Tower, bangunan pejabat pegangan bebas 22 tingkat di Phileo Damansara, Petaling Jaya, dengan nilai anggaran antara RM158 juta hingga RM187 juta.
PHB yang ditubuhkan bagi memperkukuh penyertaan Bumiputera dalam hartanah komersial utama kini memiliki portfolio merangkumi sektor pejabat, runcit, pendidikan, penjagaan kesihatan, logistik dan pusat data.
Antara aset runcit utama PHB termasuk Lotus’s Setia Alam, NU Empire Subang, NU Sentral Shopping Centre Kuala Lumpur dan Mayang Mall Kuala Terengganu, manakala aset penjagaan kesihatan termasuk Avisena Specialist Hospital Shah Alam dan Damansara Specialist Hospital 2.
PHB turut memiliki beberapa aset pejabat strategik seperti Quill 18 Cyberjaya, PJ33 Petaling Jaya, Menara Bank Pembangunan (Plaza Conlay) Kuala Lumpur, Menara Hextar Empire City Damansara Perdana, Dataran PHB Shah Alam dan Menara BT Bangsar South. - DagangNews.com
