Phillip Capital: Kontrak pertama CBH Engineering bagi 2026 naikkan buku tempahan kepada RM630 juta

LocalBusiness & Finance
29 Apr 2026 • 2:15 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Phillip Capital: Kontrak pertama CBH Engineering bagi 2026 naikkan buku tempahan kepada RM630 juta Image from: Phillip Capital: Kontrak pertama CBH Engineering bagi 2026 naikkan buku tempahan kepada RM630 juta amree29/04/2026 - 14:15 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 29 April — Walaupun kontrak pertama diraih tahun ini bernilai hanya kira-kira RM30 juta, CBH Engineering Holding Berhad berjaya meningkatkan buku tempahannya kepada RM630 juta.


Menurut Phillip Capital, tender berkenaan dengan tempoh pelaksanaan dari April hingga September 2026, sekali gus mengukuhkan keterlihatan pendapatan kumpulan bagi tempoh dua tahun akan datang.


Tambah firma penyelidikan tersebut, kontrak terbaharu itu melibatkan kerja-kerja reka bentuk, pembekalan, pemasangan dan pentauliahan pencawang pengguna 275kV bagi pusat data (DC) di Johor.


"Selain itu, kontrak berkenaan merupakan kemenangan sulung CBH Engineering bagi 2026 dan menjana kira-kira 4% daripada unjuran penambahan tender tahunan kami sendiri iaitu RM700 juta," katanya.


Justeru, dengan sekitar 90% daripada buku tempahan kumpulan tersebut lebih tertumpu kepada projek berkaitan DC, Phillip Capital melihat keterlihatan pendapatan yang kukuh bagi 2026 hingga 2027.

 



Pada masa sama ujar firma penyelidikan berkenaan, ia menganggarkan projek tersebut mampu menjana keuntungan selepas cukai sekitar RM5 juta, berdasarkan margin tipikal 15% bagi projek pusat data.


Lebih menarik, kontrak ini merupakan fasa pertama daripada sejumlah fasa, dengan potensi tender tambahan pada masa depan, susulan hubungan CBH Engineering bersama-sama pelanggan terbabit.


"Buku tendernya kukuh sekitar RM1 bilion, dengan 60% melibatkan projek DC, sejajar perkembangan pesat yang memacu permintaan infrastruktur tenaga dan pencawang elektrik," kata Phillip Capital.


Sehubungan itu, firma tersebut mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) 91 sen, bersandarkan prospek pertumbuhan kukuh dan peningkatan pelaburan dalam infrastruktur tenaga negara.


Bagaimanapun, ia memberi amaran antara risiko utama CBH Engineering termasuk kelewatan penerimaan kontrak baharu, risiko pelaksanaan projek serta peningkatan kos pembinaan. - DagangNews.com

Terkini standard