
PENGENDALI Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe perlu bersedia dengan beberapa strategi terbaik termasuk ‘senjata rahsia’ menjelang aksi pembukaan Piala ASEAN FIFA menentang Bangladesh petang ini.
Pada perlawanan yang akan berlangsung di Stadium Gelora Bung Karno itu, skuad negara bakal menentang Bangladesh yang dibimbing oleh Thomas Dooley yang cukup memahami budaya bola sepak Malaysia.
Pengurus dari Amerika Syarikat itu sebelum ini penah beraksi di Liga Malaysia ketika mewakili Sri Pahang pada 2021 menyebabkan kefahamannya mengenai bola sepak negara ini dianggap mampu menjadi ancaman.
“Setiap jurulatih akan mengkaji permainan kita, jadi saya fikir beliau (Dooley) juga sudah biasa dengan corak permainan kita. Kami kena fokus dalam setiap detik khususnya setiap kali kita melangkah ke padang.
“Kami tahu ia akan jadi sukar dan sudah pasti sebagai jurulatih, saya harap pemain berada dalam keadaan bersedia untuk berdepan cabaran,” katanya.
Bangladesh turut memiliki beberapa pemain yang berpengkalan di luar negara termasuk bekas pemain Leicester City, Hamza Choudhury menyebabkan cabaran yang mampu diberikan mereka tidak boleh dipandang mudah.
Bagaimanapun, kehadiran beberapa pemain naturalisasi baharu seperti Bergson Da Silva dan Brad Tapp mungkin akan menjadi kelebihan buat Harimau Malaya untuk merosakkan pelan diatur oleh Dooley.
Selepas Bangladesh, Harimau Malaya akan berdepan satu lagi tugas mencabar apabila akan menentang tuan rumah, Indonesia pada perlawanan kedua, Isnin ini diikuti Singapura di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung, Khamis depan.
The post Piala ASEAN FIFA: Cheng Hoe perlu banyak rancangan appeared first on Kosmo Online.



