
PETALING JAYA – Harimau Malaya membuka kempen Piala ASEAN FIFA 2026 dengan langkah kanan apabila menewaskan Bangladesh 3-0 dalam aksi pertama Kumpulan A di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, sebentar tadi.
Pada perlawanan itu, skuad negara kendalian Tan Cheng Hoe membariskan kesebelasan terbaik dengan tiga pemain naturalisasi, Brad Tapp, Manuel Hidalgo dan Bergson da Silva melakukan debut.
Malaysia tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan apabila Arif Aiman menyudahkan hantaran Nooa Laine pada minit -17 untuk melegakan tekanan buat rakan-rakan sepasukan.
Gol itu menyuntik keyakinan skuad negara yang terus menguasai permainan dan memberikan tekanan ke atas benteng Bangladesh.
Arif Aiman yang juga bintang Johor Darul Ta’zim (JDT) sekali lagi mencuri tumpuan pada minit ke-37 apabila menyumbat gol kedua selepas menerima hantaran Stuart Wilkin untuk menggandakan kelebihan Harimau Malaya.
Bangladesh cuba bangkit tetapi Malaysia kekal mengawal tempo permainan, malah penjaga gol lawan terpaksa bekerja keras menyelamatkan percubaan Nooa Laine pada minit ke-41.
Memasuki babak kedua, Harimau Malaya terus memburu gol ketiga dan usaha itu akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-52.
Bergson meledak gol ketiga Malaysia selepas menerima hantaran Corbin-Ong untuk memastikan skuad negara selesa mendahului 3-0.
Bangladesh selepas itu cuba mencari ruang untuk merapatkan jurang, namun barisan pertahanan Malaysia kekal kental untuk memastikan gawang tidak dibolosi sehingga wisel penamat.
Malaysia hampir meraih gol keempat tetapi penyudah pemain gantian, Fergus Tierney sekadar menggegarkan palang dengan keputusan 3-0 kekal hingga wisel penamat.
Selepas ini, skuad negara akan menentang tuan rumah, Indonesia pada aksi kedua, Isnin depan. – KOSMO! ONLINE
The post Piala ASEAN FIFA: Harimau Malaya laung amaran awal appeared first on Kosmo Online.



