
SKUAD Harimau Malaya sedia menyahut cabaran untuk kembali menggegar rantau Asia Tenggara dengan membuktikan taring sebenar pada kempen Piala ASEAN FIFA 2026 menentang Bangladesh di Stadium Gelora Bung Karno, hari ini.
Kapten skuad kebangsaan, Dion Cools menegaskan seluruh pasukan kini berada pada tahap terbaik bagi merealisasikan misi melakar kejutan, biarpun berdepan tempoh persiapan yang agak singkat.
Menurut tonggak pertahanan berusia 30 tahun itu, pentas serantau sebegini sentiasa menghadirkan aura luar biasa dan peluang terbaik untuk membawa pulang kejayaan bermakna buat jutaan peminat tanah air.
“Sudah tentu ia sentiasa menjadi detik istimewa untuk beraksi dalam kejohanan serantau. Dalam kejohanan seperti ini (diiktiraf FIFA), kita sentiasa mahukan skuad terbaik bersaing.
“Persiapan juga berjalan lancar. Walaupun tempoh peralihan singkat dan kami hanya ada beberapa sesi latihan, pasukan sudah bersedia dan semua pemain berada dalam tahap kecergasan terbaik untuk aksi esok.
“Apa yang pasti, saya sangat teruja menantikan kejohanan ini dan harap kami dapat capai sesuatu yang membanggakan untuk Malaysia,” katanya pada sidang media di Jakarta, semalam.
Skuad bimbingan Tan Cheng Hoe terdesak untuk memulakan kempen kumpulan menentang Bangladesh dengan langkah kanan sebelum mengharungi pertembungan berprofil tinggi menentang tuan rumah, Indonesia, Isnin depan.
Mengulas mengenai peluang bakal di stadium keramat Sang Garuda yang terkenal dengan aura tersendiri, Cools yang mewakili kelab Cerezo Osaka mengakui tidak sabar untuk merasai sendiri atmosfera luar biasa di gelanggang ikonik itu.
“Saya belum melihat ke dalam stadium lagi, jadi saya cukup teruja,” katanya.
The post Piala ASEAN FIFA: Cools akui Harimau Malaya sudah bersedia appeared first on Kosmo Online.



