
SEPANG – Prestasi cemerlang empat perlawanan tanpa kalah dan rekod bersih tanpa bolos dalam kempen Piala ASEAN FIFA 2026 bukan sahaja mengembalikan maruah Harimau Malaya di pentas antarabangsa, malah berjaya meniup kembali api keyakinan dalam kalangan peminat bola sepak tanah air.
Di sebalik kejayaan membanggakan itu, pengendali interim skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe, mengakui anak-anak buahnya memikul bebanan dan tekanan emosi yang cukup tinggi demi memastikan peminat boleh kembali rasa bangga dengan Harimau Malaya
Menurut Cheng Hoe, tekanan tersebut hadir kerana para pemain sedar betapa besarnya harapan peminat yang dahagakan persembahan bertenaga serta keputusan positif daripada kem negara.
”Memang dari segi sebelum perlawanan, saya rasa pemain-pemain juga ada sedikit rasa tekanan kerana kita perlukan keputusan yang terbaik untuk mendapat sokongan daripada para penyokong yang begitu mengharapkan Malaysia memberi satu persembahan terbaik,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) petang tadi.
Bagaimanapun, Cheng Hoe pantas mengingatkan pasukannya agar tidak leka mahupun hanyut dengan pujian.
Tegasnya, momentum positif ini harus menjadi pemangkin untuk setiap pemain terus melipatgandakan usaha dan memperbaiki prestasi individu menjelang cabaran lebih getir selepas ini.
”Dan kita, setelah keputusan tersebut, mengharapkan masih lagi kita perlu mempertingkatkan prestasi individu dan kita memang mengharapkan sokongan berterusan daripada penyokong-penyokong Harimau Malaya,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Piala ASEAN FIFA: Harimau Malaya kembali raih sokongan peminat appeared first on Kosmo Online.





