
PETALING JAYA – Indonesia berkongsi kedudukan dengan Malaysia di puncak Kumpulan A saingan Piala ASEAN FIFA selepas menewaskan Singapura 2-0 dalam aksi pertama di Stadium Gelora Bung Karno, sebentar tadi.
Skuad Garuda yang turun selaku tuan rumah tidak mengecewakan ribuan penyokong apabila menguasai permainan sejak awal sebelum gol Ragnar Oratmangoen dan Ole Romeny memastikan tiga mata menjadi milik mereka.
Indonesia hanya memerlukan 14 minit untuk membuka tirai jaringan apabila pemain debutan, Luke Vickery, melakukan larian pantas di sebelah kanan sebelum melorongkan bola kepada Oratmangoen yang menyudahkan peluang dengan tenang.
Singapura turut mempunyai peluang terbaik menerusi pemain gantian Song Uiyoung yang hampir menyamakan kedudukan selepas memasuki sejam permainan.
Bagaimanapun, tugas Singapura menjadi semakin sukar apabila Safuwan Baharudin dilayangkan kad merah selepas semakan VAR kira-kira 20 minit sebelum tamat permainan.
Indonesia meraih tuah berganda apabila pengadil menghadiahkan penalti kepada tuan rumah susulan bola terkena tangan pemain Singapura.
Romeny tidak mensia-siakan peluang berkenaan apabila tenang menyempurnakan sepakan penalti untuk meletakkan Indonesia 2-0 di depan.
Kemenangan itu membolehkan Indonesia mengumpul tiga mata dan menyamai kedudukan Malaysia di puncak Kumpulan A, sekali gus menghangatkan aksi ‘derbi nusantara’ antara kedua-dua pasukan, Isnin depan. – KOSMO! ONLINE
The post Piala ASEAN FIFA: Indonesia ikut ‘jejak’ Harimau Malaya appeared first on Kosmo Online.
