Piala ASEAN: Harimau Malaya buru mata maksimum

LocalFootball
28 Jul 2026 • 8:20 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Piala ASEAN: Harimau Malaya buru mata maksimum

PENGENDALI interim Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe menyeru semua pemain fokus kekalkan momentum dengan meraih mata maksimum pada aksi kedua Kumpulan B menentang Laos pada saingan Piala ASEAN 2026 di Stadium Kuala Lumpur, Cheras, malam ini.

Menurut Cheng Hoe, Laos tidak boleh dipandang rendah walaupun di atas kertas pasukan lawan dibezakan dengan kedudukan ranking yang ketara di posisi 185 dunia berbanding Malaysia.

Cheng Hoe berkata, skuad kendalian Vladica Grujic itu memiliki beberapa tonggak muda yang mampu memberi ancaman kepada benteng pertahanan negara menerusi serangan balas pantas.

“Kami sudah menganalisis permainan Laos ketika mereka tewas 0-5 kepada Thailand pada aksi pertama sebelum ini.

“Mereka masih ada kualiti dengan kehadiran pemain muda yang bersemangat tinggi. Justeru, saya mahu pasukan menghormati mereka pada aksi malam ini.

“Sudah tentu Laos tidak mahu tewas buat kali kedua. Saya harap pasukan tidak kehilangan bola dengan mudah di kawasan sendiri dan perlu lebih tajam ketika mendapat peluang,” katanya.

Skuad kebangsaan berpotensi untuk meletakkan sebelah kaki ke peringkat separuh akhir jika meraih mata maksimum selepas memulakan kempen Kumpulan B dengan langkah kanan apabila menang 2-1 ke atas Myanmar minggu lalu.

Lebih menarik, Cheng Hoe turut memberi bayangan mungkin merombak kesebelasan utama kerana bakal bertemu Thailand di tempat lawan pada Sabtu ini.

Namun, bekas pengendali Selangor FC itu mengakui tahap kecergasan semua pemain akan dinilai terlebih dahulu sebelum menentukan sama ada mengekalkan kesebelasan utama atau melakukan rombakan.

“Kami gembira meraih tiga mata dalam perlawanan pertama, tetapi perjalanan masih panjang dan masih ada beberapa lagi perlawanan sukar menanti.

“Kami perlu memastikan semua pemain berada pada tahap kecergasan terbaik sebelum membuat keputusan mengenai barisan yang akan diturunkan,” katanya.

Ini adalah pertemuan ketiga Malaysia bertemu Laos selepas dua aksi kelayakan Piala Asia 2027 tahun lalu yang berjaya dimenangi pasukan kebangsaan dengan keputusan 5-1 di laman sendiri dan 3-0 di tempat lawan.

The post Piala ASEAN: Harimau Malaya buru mata maksimum appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved