Piala Asia: Ahmad Jais akui regu berpasukan negara belum cukup kuat

18 May 2025 • 10:11 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Skuad negara terpaksa akur tumpas 0-2 di tangan Thailand sekali gus gagal menamatkan kemarau 34 tahun negara dalam acara regu berpasukan. Foto Sinar Harian - MOHD HALIM ABDUL WAHID

image is not available
Ahmad Jais

KETUA jurulatih sepak takraw negara, Ahmad Jais Baharun mengakui pasukan bimbingannya belum cukup kuat selepas tumpas kepada Thailand pada perlawanan akhir acara regu berpasukan di Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia 2025 pada Ahad.

Ahmad Jais berkata, beliau akan membuat penilaian penuh bagi memastikan skuad negara dapat menewaskan seteru utama itu pada kejohanan yang akan datang.

"Secara peribadi, saya lihat pasukan kita masih belum cukup baik. Saya rasa pasukan kita perlu melipatgandakan usaha untuk mengekang asakan Thailand.

"Kalau kita lihat prestasi Thailand, mereka bermain dengan lebih kemas dari segi serangan dan juga pertahanan. Itu yang saya rasa membezakan kita dan pasukan Thailand,” katanya ketika ditemui media selepas perlawanan akhir di Stadium Titiwangsa di sini.

**media[3130830]**

Terdahulu pada aksi final acara regu berpasukan Piala Asia 2025, skuad negara terpaksa akur tumpas 0-2 di tangan Thailand sekali gus gagal menamatkan kemarau 34 tahun negara dalam acara regu berpasukan.

Trio regu negara pertama, Amirul Zazwan Amir (apit kiri), Mohammad Syahir Mohd Rosdi (tekong) dan Mohamad Azlan Alias (apit kanan) tewas 11-15, 15-12, 15-17 di tangan Thailand.

Regu kedua negara yang dibarisi Farhan Adam, Muhammad Haziq Hairul Nizam dan Muhammad Noraizat Mohd Nordin yang diletakkan sebagai harapan untuk menghidupkan peluang Malaysia pada perlawanan akhir itu juga gagal meraih kemenangan selepas tewas 15-13, 13-15, 4-15.

Dalam pada itu Ahmad Jais berkata, meskipun kecewa gagal meraih kemenangan dalam acara regu berpasukan, beliau menzahirkan ucapan terima kasih kepada anak buahnya yang beraksi sehabis baik pada perlawanan akhir itu.

"Pemain sudah cuba yang terbaik dan kita perlu terima keputusan ini dengan hati terbuka. Kita perlu bekerja lebih keras untuk mempertingkatkan mutu permainan pada masa akan datang,” katanya. - Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved