Piala Asia: Malaysia Bertemu Korea Selatan, Jordan & Bahrain Di Qatar

12 May 2023 • 7:04 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Tangkapan layar video YouTube AFC Asian Cup

KUALA LUMPUR -Tugas getir menanti skuad negara pada saingan Piala Asia 2023 yang akan datang.

Undian yang berlangsung di Katara Opera House di Doha, Qatar, semalam, menyaksikan Malaysia diundi dalam Kumpulan E bersama gergasi Asia, Korea Selatan, Jordan dan Bahrain.

Ia adalah penampilan keempat Malaysia dalam kejohanan itu, setelah melayakkan diri pada edisi 1976, 1980 dan sebagai tuan rumah bersama Indonesia, Thailand dan Vietnam pada 2007.

Berbeza dengan situasi pada 2007, Harimau Malaya layak ke pusingan akhir secara merit, menduduki tempat kedua dalam Kumpulan E, di belakang juara kumpulan, Bahrain pada pusingan ketiga kelayakan.

Malaysia memulakan kempen kelayakan dengan menewaskan Turkmenistan 3-1.

Walaupun tewas 2-1 kepada Bahrain, skuad negara mengesahkan kelayakan automatik dengan menewaskan Bangladesh 4-1 dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan.

Juara bertahan Qatar akan menentang China, Tajikistan dan Lubnan dalam Kumpulan A.

Pada awalnya, China ditetapkan sebagai tuan rumah bagi kejohanan 2023 bermula dari  16 Jun hingga 16 Julai depan.

Bagaimanapun, China terpaksa menarik diri berikutan situasi pandemik COVID-19 dan dasar sifar COVID-19 di republik itu.

Qatar kemudiannya diumumkan sebagai tuan rumah kejohanan buat kali ketiga, setelah kali terakhir menganjurkannya pada 1988 dan 2011.

Kejohanan itu bermula pada 12 Januari dan akan berlangsung sehingga 10 Februari tahun depan.

 

Kumpulan A

Qatar 

China

Tajikistan

Lubnan

 

Kumpulan B

Australia

Uzbekistan

Syria

India

 

Kumpulan C

Iran 

Emiriah Arab Bersatu

Hong Kong 

Palestin

 

Kumpulan D

Jepun

Indonesia

Iraq

Vietnam

 

Kumpulan E

Korea Selatan

Malaysia

Jordan

Bahrain

 

Kumpulan F

Arab Saudi

Thailand

Republik Kyrgyz

Oman – The Vibes, 12 Mei 2023