Piala Dunia Istaf: Malaysia bertemu Thailand di perlawanan akhir

28 Nov 2022 • 9:40 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

KUALA LUMPUR, 28 NOV: Skuad sepak takraw lelaki negara melangkah ke perlawanan akhir Piala Dunia Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (Istaf) 2022, selepas membenam cabaran tuan rumah, Korea Selatan pada aksi separuh akhir, semalam.

Pada pertembungan yang berlangsung di Kompleks Sukan Daejon Hanbat di Daejeon itu, skuad negara dibarisi trio Mohammad Syahir Mohd Rosdi, Mohammad Azlan Alias dan Amirul Zazwan Amir, melakar kemenangan 21-10, 21-15 dalam masa 50 minit.

Menanti Malaysia di pentas final hari ini ialah musuh tradisi yang juga juara bertahan Thailand, yang menundukkan Jepun 21-8, 21-14 dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Pada edisi kali ini, skuad Gajah Putih membawa Kritsanapong Nontakote, Pornthep Tinbangbon, Thawisak Thongsai, Phutawan Sopa, Yodsawat Uthaijaronsri dan Rachan Viphan.

Kesemua pemain kecuali Thawisak, merupakan pemenang tiga pingat emas di Sukan SEA Vietnam di Hanoi, Mei lepas dan juara Piala Raja Thailand.

Kelmarin, skuad Malaysia kendalian Azhar Sarabini menundukkan Jepun 21-8, 21-9 dan India 21-5, 21-12 dalam perlawanan peringkat Kumpulan F Divisyen Perdana, untuk layak ke peringkat separuh akhir. – BERNAMA

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved