
KUALA LUMPUR – Kuching City mempamerkan aksi lima bintang untuk mara ke peringka suku akhir Piala FA apabila membelasah Kelantan Red Warriors (KRW) 5-1 pada aksi timbal balik kedua di Stadium Kuala Lumpur, Cheras sebentar tadi.
Selepas KRW mengejutkan apabila meraih keputusan seri 0-0 pada aksi pertama minggu lalu, The Cats tampil dengan taktikal agresif sejurus wisel permulaan ditiupkan.
Pemain import sensasi, Dylan Wenzel Halls membuka tirai jaringan pada minit ke-10 sebelum Safawi Rasid menggandakan kelebihan buat pasukan tuan rumah pada minit ke-29.
Bersambung pada babak kedua, skuad kendalian Aidil Sharin Sahak itu terus mengganas apabila Ronald Ngah Wanjah meledak gol ketiga pada minit ke-53.
Namun, KRW mempamerkan semangat juang tinggi apabila membolosi gawang Kuching City menerusi penyudah Mazwan Che Mat pada minit ke-64.
Bagaimanapun, kebangkitan pelawat tidak kesampaian apabila Ronald Ngah sekali lagi mencetak nama sebagai penjaring menerusi sepakan penalti pada minit ke-72.
Kaishu Yamazaki kemudian melengkapkan pesta gol Kuching City menerusi tandukan pada minit ke-81 untuk memastikan kemenangan besar 5-1 dan dijadual bertemu Melaka FC pada aksi suku akhir nanti. – KOSMO! ONLINE
The post Piala FA: Kuching City berpesta gol atasi KRW appeared first on Kosmo Online.



