
ISKANDAR PUTERI – Johor Darul Ta’zim (JDT) membuka kempen Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) Piala Shopee dengan langkah bergaya apabila membelasah gergasi bola sepak Kemboja, Preah Khan Reach (PKR) Svay Rieng FC 6-0 di Stadium Sultan Ibrahim, di sini malam ini.
Beraksi di laman sendiri, Harimau Selatan tampil garang sejak awal permainan dengan melancarkan serangan bertali arus bagi menguji benteng pertahanan pasukan pelawat.
Seawal minit ketujuh, JDT hampir membuka tirai jaringan menerusi Jairo da Silva, namun rembatan pemain itu berjaya ditepis penjaga gol PKR Svay Rieng, Vireak Dara.
Seminit kemudian, giliran Marcos Guilherme mencemaskan kubu lawan apabila percubaannya selepas menerima hantaran rakan sepasukan hanya menggegar tiang gol.
PKR Svay Rieng yang tertekan dengan asakan berterusan JDT cuba bangkit menerusi serangan balas dan hampir mencuri gol menerusi Kwame Peprah, namun percubaannya berjaya diselamatkan Ahmad Syihan Hazmi.
Kebuntuan JDT akhirnya terlerai pada minit ke-39 apabila Arif Aiman Mohd Yusof melepaskan rembatan leret dari luar kotak penalti yang gagal diselamatkan Dara untuk menjadikan kedudukan 1-0.
Memasuki babak kedua, JDT tidak mengendurkan tekanan apabila Guilherme menggandakan kelebihan pada minit ke-49 menerusi rembatan lambung selepas menerima umpanan kemas daripada Jairo.
Tersentak dengan jaringan itu, PKR Svay Rieng cuba memperkemaskan permainan, namun JDT terus menguasai perlawanan dan menambah gol ketiga menerusi Kevin Medina pada minit ke-61.
Gol itu hadir hasil sepakan sudut yang diambil Arif Aiman sebelum Medina melonjak tinggi menanduk bola menewaskan Dara.
JDT terus berpesta apabila pemain gantian, Zaheditabar Shahab, mencetak gol keempat pada minit ke-70 selepas menyudahkan lorongan Ager Aketxe.
Belum sempat pasukan pelawat menghela nafas panjang, Daniesh Amiruddin yang baru dimasukkan menambah derita PKR Svay Rieng apabila meledak gol kelima JDT.
Daniesh sekali lagi menjadi duri dalam daging pertahanan pelawat apabila mencuri bola susulan kesilapan Odarawa Takashi yang cuba melakukan tandukan kepada Dara sebelum melepaskan rembatan untuk melengkapkan kemenangan 6-0 JDT.
PKR Svay Rieng berpeluang mendapatkan gol sagu hati pada penghujung permainan menerusi Min Ratanak, namun percubaannya sekali lagi dinafikan Ahmad Syihan.-KOSMO! ONLINE
The post Piala Shopee: JDT mula langkah kanan, benam PKR Svay Rieng 6-0 appeared first on Kosmo Online.






