
JOHOR Darul Ta’zim (JDT) bakal turun dengan misi Piala Sultan Haji Ahmad Shah apabila melayan kunjungan Kuching City FC pada aksi Piala Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim, malam ini.
Pertembungan juara bertahan Liga Super menentang naib juara musim lalu itu bukan sekadar perebutan trofi pembuka tirai Liga Malaysia 2026/2027, malah menjadi pentas buat Harimau Selatan memburu rekod dunia baharu serta mempertahankan Piala Sumbangsih buat kali ke-11.
JDT kini berada di ambang mencipta sejarah selepas menyamai rekod tanpa kalah aksi liga dan kemenangan menentang Kuching City membolehkan mereka mengatasi rekod yang dipegang kelab dari Ivory Coast, ASEC Mimosas dengan 108 kemenangan dari 1989 hingga 1994.
Xisco mengakui perlawanan berkenaan amat penting buat kelabnya dan berharap ia menjadi detik istimewa kepada pemain, penyokong serta semua pihak yang menyokong JDT selama ini.
“Esok (hari ini) adalah hari yang sangat penting untuk kami. Saya harap ia menjadi hari istimewa buat kelab, penonton dan semua yang sudah berusaha menyokong kami.
“Kami bercakap mengenai rekod dunia dan bukan mudah untuk mencapai keadaan ini. Jadi, kami perlu fokus dan memberikan segala-galanya,” katanya pada sidang akhbar pra-perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim di sini, semalam.
Bagaimanapun, pengendali dari Sepanyol itu enggan menganggap tugas JDT mudah sambil memberi amaran Kuching City mempunyai struktur pertahanan yang baik selain memiliki pemain yang kuat dari aspek fizikal.
Sementara itu, penyerang sensasi JDT, Bergson da Silva melihat tekanan memburu rekod dunia sebagai suatu yang positif dan mampu meningkatkan motivasi pasukan.
“Setiap perlawanan mempunyai perasaan yang berbeza. Esok kami mempunyai pencapaian yang besar untuk dicapai, mempertahankan rekod dan berjuang untuk mendapatkan trofi sekali lagi,” katanya.
The post Piala Sumbangsih: JDT selangkah menuju kemasyhuran appeared first on Kosmo Digital.





