Kuching City tekad cipta kejutan dalam penampilan sulung Piala Sumbangsih

20 Aug 2026 • 3:45 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Kuching City tekad cipta kejutan dalam penampilan sulung Piala Sumbangsih

ISKANDAR PUTERI: Kuching City FC bertekad mahu mencipta kejutan menentang gergasi tanah air, Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan Piala Sumbangsih bagi merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah 2026/2027 di Stadium Sultan Ibrahim, malam ini.

Biarpun persiapan The Cats terjejas akibat krisis kecederaan serta masalah visa ketika kem latihan pra-musim di Chiang Mai, Thailand, Ketua Jurulatihnya, Aidil Sharin Sahak percaya komitmen dan semangat juang anak buahnya mampu menghadirkan saingan sengit.

Menurut Aidil, skuad kendaliannya turut terpaksa merencana strategi tanpa dua tonggak utama, Rodney Celvin dan Jimmy Raymond yang terpaksa direhatkan selepas mengalami kecederaan sewaktu tugas antarabangsa bersama skuad kebangsaan.

“Bukan lagi rahsia, kedua-dua cedera ketika bersama skuad kebangsaan. Dalam tempoh singkat satu atau dua hari ini, mereka pasti tidak sempat cergas sepenuhnya dan sah terlepas perlawanan menentang JDT.

“Sebelum itu, tiga pemain import kami iaitu James Okwuosa, Jerome Mpacko Etame dan Ronald Ngah terlepas aksi pra-musim di Chiangmai sekali Gus menjejas persiapan pasukan menjelang aksi Liga Malaysia musim ini.

“Namun, apa yang penting esok ialah sikap dan komitmen 100 peratus yang ditunjukkan pemain di dalam padang,” katanya dalam sidang akhbar pra-perlawanan Piala Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim di sini, hari ini.

Ditanya status pemain pinjaman daripada JDT iaitu Nazmi Faiz Mansor, Declan dan Ryan Lambert, Safawi Rasid dan Ajdin Mujagic, Aidil Sharin enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.

“Saya tak mahu bercakap mengenai status pemain pinjaman daripada JDT itu kerana ia agak sensitif. Tambahan pula, mereka adalah pemain baharu yang perlu menyesuaikan diri dengan pasukan, kita akan lihat siapa pemain yang akan bersedia untuk diturunkan,” katanya.

Perlawanan malam esok mencatat sejarah tersendiri buat Kuching City apabila pertama kali beraksi dalam saingan Piala Sumbangsih, selain bakal bersaing di peringkat antarabangsa menerusi Piala Shopee dan Kejohanan Kelab AFC musim ini.

Sementara itu, kapten Kuching City,  Okwuosa optimis barisan pertahanan yang menampilkan gabungan baharu seperti Gabriel Peres dan Irfan Zakaria mampu mengekang jentera serangan Harimau Selatan.

“Apa sahaja rencana yang dirancang pasukan lawan, kami hanya akan memberi tumpuan kepada diri sendiri untuk mengeratkan keserasian dan membina persefahaman.

“Bola sepak adalah mengenai daya saing dan kami hadir untuk mencipta kejutan serta membina sejarah baharu buat kelab dan penyokong,” katanya. – UTUSAN

The post Kuching City tekad cipta kejutan dalam penampilan sulung Piala Sumbangsih appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved