Pilih 'homeschooling' demi SPM, Oddah anak Shiera dedah punca upah pengurus luar- 'Tak nak uban mama makin banyak!'

Family & Parenting
5 Jun 2026 • 9:22 AM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

Image from: Pilih 'homeschooling' demi SPM, Oddah anak Shiera dedah punca upah pengurus luar- 'Tak nak uban mama makin banyak!'

RAMAI yang tertanya-tanya dan tidak kurang juga yang membuat spekulasi sendiri kononnya, Oddah remaja yang kian meningkat nama sudah tidak mahu belajar lagi demi mengejar populariti.

Namun, bagi empunya badan, tanggapan itu sebenarnya jauh tersimpang daripada niat asalnya yang sebenar.

"Mana ada saya berhenti sekolah, saya cuma tukar cara belajar sahaja!" Demikian tegas anak gadis kepada selebriti popular Sharifah Shahirah ketika meleraikan salah faham yang hangat memperkatakan tentang keputusan drastik mengenai masa depannya.

Isu tersebut mula menjadi buah mulut ramai apabila pemilik nama sebenar, Auddra Zulkifly mengambil keputusan untuk meninggalkan sesi persekolahan biasa.

Langkah tersebut menimbulkan spekulasi kononnya dia sudah tidak mahu belajar lagi demi mengejar populariti.

Image from: Pilih 'homeschooling' demi SPM, Oddah anak Shiera dedah punca upah pengurus luar- 'Tak nak uban mama makin banyak!'

Apatah lagi dengan berita angin yang mendakwa dia bakal meluncurkan single terbaru tidak lama lagi, membuatkan segelintir netizen menganggap Oddah sengaja mengambil jalan mudah.

Namun, di sebalik segala kecaman dan riuh-rendah di media sosial, anak ketiga daripada empat beradik ini sebenarnya mempunyai perancangan yang sangat matang untuk masa depannya sendiri.

Bertemu dengan SinarPlus baru-baru ini, Oddah secara eksklusif membuka cerita bahawa dia sama sekali tidak pernah membelakangkan kepentingan ilmu dalam kehidupan, sebaliknya hanya mengubah strategi pembelajaran dengan beralih kepada kaedah homeschooling.

Keputusan itu dicapai sejak tahun lalu selepas melalui fasa perbincangan yang panjang serta penuh drama air mata bersama kedua-dua ibu bapanya.

Jelas Oddah, kaedah belajar di rumah itu adalah pilihan terbaik buat dirinya kerana dia sukar memberikan tumpuan penuh sekiranya berada di dalam bilik darjah yang padat dengan murid-murid lain.

Dengan bantuan guru peribadi yang mengajar enam subjek utama, tumpuannya kini menjadi lebih fokus dan terarah untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Image from: Pilih 'homeschooling' demi SPM, Oddah anak Shiera dedah punca upah pengurus luar- 'Tak nak uban mama makin banyak!'

"Banyak orang selalu salah faham, ingat Oddah nak berhenti sekolah terus. Maksudnya, Oddah dah tidak ambil tahu fasal pelajaran. Kalian kena tahu yang ilmu ini sangat penting, walaupun untuk budak seusia saya, Gen Z, Gen Alpha, mahupun yang berada di kolej.

"Walaupun ini pilihan saya sendiri dan kadangkala ada mak cik atau pak cik yang selalu bising suruh sambung sekolah, dalam hati saya tahu ilmu itu tetap nombor satu.

"Saya jenis yang tak boleh fokus kalau ada ramai orang di dalam bilik darjah. Apabila cikgu ada di depan mata dengan saya seorang sahaja, barulah saya boleh beri perhatian sepenuhnya," luah Oddah mengulas mengenai situasi sebenar dirinya.

Anak angkat Biduanita Negara

Bukan sekadar bergantung kepada kelas homeschooling, anak angkat kepada Biduanita Negara, itu turut mendaftarkan diri di pusat tuisyen dalam talian demi memastikan persiapannya berjalan lancar.

Sebagai generasi digital, dia bijak memanfaatkan kecanggihan teknologi dengan mengulang kaji pelajaran melalui platform media sosial serta menonton saluran YouTube yang menyediakan pelbagai tip berguna daripada bekas pelajar senior.

Walaupun jadual harian kelihatan sangat padat dan meletihkan, Oddah mengakui dia sangat menikmati rutin baharu tersebut kerana diberi peluang untuk mengimbangi antara minat mendalam terhadap kerjaya seni dan tanggungjawabnya sebagai seorang pelajar.

Image from: Pilih 'homeschooling' demi SPM, Oddah anak Shiera dedah punca upah pengurus luar- 'Tak nak uban mama makin banyak!'

"Saya memang seronok sebab bila saya tahu saya memang nak buat benda ni dan memang nak kerja, saya akan seronokkan diri sendiri. Jadi saya tak rasa penat, macam let's go sahaja.

"Kalau betul-betul penat, saya akan tidur sahaja di mana-mana walaupun dalam kereta sewaktu dalam perjalanan ke tempat kerja bersama pengurus saya. Perancangan saya dan pengurus, kami akan selesaikan semua urusan kerja pada bulan ini dan bulan depan sahaja.

"Masuk bulan Julai nanti, saya dah tak ambil kerja lagi dan mahu fokus sepenuhnya pada SPM. Selepas habis peperiksaan penting itu nanti, barulah saya akan kembali bekerja semula.

"Memang begitu cara kami seimbangkan keadaan sebab SPM adalah peperiksaan paling penting di Malaysia, jadi tekanannya memang ada. Doakan Oddah untuk dapat straight A SPM, amin," katanya sambil tersenyum penuh harapan.

Hubungan kekeluargaan

Beralih kepada cerita pengurusan kerjaya seninya yang semakin rancak berkembang, gadis ini mendedahkan dia lebih selesa diuruskan oleh pengurus profesional daripada luar berbanding ibu bapa sendiri demi menjaga keharmonian hubungan kekeluargaan.

Malah, individu yang mahu bekerja dengannya juga perlu melalui proses temu bual yang sangat ketat dengan ibunya terlebih dahulu bagi mengelakkan sebarang masalah di kemudian hari.

Sambil berseloroh, Oddah mengakui perbezaan cita rasa dan pandangan antara dia dan ibunya boleh mencetuskan situasi huru-hara sekiranya mereka dipaksa bekerjasama dalam urusan kerja profesional.

Image from: Pilih 'homeschooling' demi SPM, Oddah anak Shiera dedah punca upah pengurus luar- 'Tak nak uban mama makin banyak!'

"Saya memang tak boleh bekerjasama dengan mak saya sebab dia nak benda lain, saya pun nak benda lain. Itu memang susah sebab kalau tidak, nanti akan jadi kecoh.

"Mak saya pula jenis yang tak boleh bekerja dengan orang, kalau tak nanti dia yang lagi stres dan uban dia pun makin naik. Papa pula seorang yang sangat pendiam.

"Kalau saya tanya pendapat sama ada patut buat sesuatu perkara atau beritahu ada orang nak temu bual, papa selalunya akan angguk-angguk sahaja tanda setuju.

"Papa jarang geleng kepala, kecuali kalau saya cakap nak keluar rumah, barulah dia geleng. Walaupun saya dan mama suka bergaduh, saya tetap rasa ada lebih keserasian dengan dia.

"Saya tak boleh bayangkan kalau papa yang jadi pengurus saya, entah-entah sekarang saya dah terima tawaran kerja di dalam hutan," ceritanya penuh jenaka sekaligus menutup perbualan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved