
SIAPA kata orang muda sekarang takut nak kahwin awal? Kalau kena dengan orangnya, dunia malam yang penuh glamor pun sanggup ditinggalkan tau!
Nama pelakon kacak, Ikmal Amry mungkin tidak sehangat selebriti lain yang gemar mencetuskan kontroversi demi meraih populariti.
Graduan diploma pengurusan prniagaan itu lebih selesa 'low profile' dan membuktikan bakatnya tanpa perlu menjual rupa.
Namun baru-baru ini, pengakuan jujur bekas peserta Hero Remaja tersebut di aplikasi Threads benar-benar mencuri perhatian netizen sehingga tular.
Semuanya bermula apabila seorang pengguna media sosial bertanyakan soalan tentang perkara paling luar biasa atau 'gila' yang pernah dilakukan demi insan tersayang.

Tanpa berselindung, aktor berusia 31 tahun itu membuka cerita tentang pengorbanan terbesarnya sebelum bergelar suami.
"Saya tinggalkan dunia saya di belakang untuk dia (isteri). Saya mengejar masa depan bersama dia.
"Dan ketika itu, saya hanya berusia 26 tahun," kongsinya ringkas namun cukup mendalam.
Keputusan besar murni itu dibuat ketika namanya baru sahaja mahu melonjak naik dalam industri seni.
Bayangkan, dalam usia semuda itu, dia nekad meninggalkan kehidupan lamanya demi membina masa depan bersama wanita pilihan hati, Najla Shamsul.

Tindakannya itu mendapat pujian melambung daripada warganet. Ramai yang kagum dengan kesetiaan pelakon drama Gantung The Series ini kerana tetap memilih wanita yang ada bersamanya susah dan senang, walaupun kini dikelilingi ramai wanita cantik sebagai seorang pelakon.
Bercakap mengenai sisi peribadinya, Ikmal mengakui dirinya sangat mementingkan keluarga.
Suami dan ayah terbaik
Baginya, karier seni jatuh nombor dua kerana fokus utamanya adalah menjadi seorang suami dan ayah yang terbaik.
Malah, dia tidak kekok berkongsi tugas menjaga anak bersama isteri tanpa bantuan pembantu rumah.
“Saya memang berimpian untuk kahwin awal dan memiliki keluarga sendiri. Memandangkan saya lahir dalam keluarga besar, jadi saya memang nak anak ramai.
"Kalau boleh enam orang cahaya mata, tetapi isteri cakap empat cukuplah.
"Jadi, saya akur kerana beliau yang nak mengandung," selorohnya menerusi satu perkongsian bersama SinarPlus sebelum ini.

Ketika ditanya sama ada dia pernah menyesal kerana melepaskan zaman bujangnya pada usia 26 tahun, waktu yang dianggap terlalu awal bagi segelintir lelaki, Ikmal hanya tersenyum dan menolak tanggapan tersebut.
“Oh! Tidak. Tiada langsung istilah menyesal. Bagi saya, umur 26 tahun (ketika itu) untuk dirikan rumah tangga agak lambat.
"Adik beradik lain rata-ratanya sudah berkeluarga," ujarnya lagi.
Ternyata, aturan Tuhan itu sangat indah. Keputusan yang dibuatnya beberapa tahun lalu, kini membuahkan kebahagiaan yang tidak ternilai.

Sejak berkahwin pada 19 Disember 2020, rezekinya dalam dunia lakonan semakin mencurah-curah.
Kehidupan rumah tangga Ikmal dan Najla kini semakin berseri dengan kehadiran dua cahaya mata dan khabarnya mereka juga sedang teruja menantikan kehadiran orang baru tidak lama lagi.
Memang betul-betul contoh 'family man' idaman ramai!
